Walau minyak dunia bergolak, kerajaan MADANI tetap pertahan subsidi rakyat

Walaupun perang di Asia Barat terus memberi tekanan kepada harga minyak dunia dan pasaran tenaga global, kerajaan MADANI memberi jaminan tidak akan mengurangkan subsidi sedia ada.

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, kerajaan kekal komited mengekalkan subsidi yang dinikmati rakyat.

Ia termasuk BUDI95 yang terbukti berkesan melindungi pengguna daripada kesan ketidaktentuan pasaran minyak global.

“BUDI95 yang diperkenalkan September lalu telah melindungi rakyat Malaysia semasa krisis pada bulan Mac dan April.

“Kerajaan telah memastikan harga petrol dan bekalan minyak semasa krisis dan ini adalah kelebihan BUDI95,” kata Chin Tong.

Beliau berkata demikian Ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan, di Dewan Rakyat, hari ini.

Chin Tong yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri berkata, kerajaan menanggung subsidi hampir RM800 juta sebulan bagi RON95 dan diesel pada Januari serta Februari 2026.

Jumlah itu, katanya, melonjak kepada kira-kira RM5 bilion sebulan pada Mac dan April ekoran kenaikan harga minyak mentah dunia akibat konflik di Asia Barat.

Memantau konflik

Dalam masa sama, beliau berkata kerajaan akan terus memantau perkembangan konflik di Asia Barat sebelum memuktamadkan sebarang semakan terhadap unjuran fiskal negara.

“Setakat ini, kita tidak nampak ada keperluan untuk mengubah unjuran.

“Sekiranya perlu, semakan semula kepada unjuran fiskal 2026 akan diumumkan semasa Belanjawan 2027 kelak.

“Ia setelah mengambil kira indikator ekonomi terkini dan prestasi kutipan hasil dan perbelanjaan sehingga separuh pertama 2026,” kata wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) itu lagi.

Dunia sedang berdepan tekanan global yang semakin mencabar apabila Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan ke atas Iran bagi hari keempat berturut-turut hari ini.

Tentera AS juga menguatkuasakan semula sekatan laut sejam selepas serangan udara bermula bagi menghalang kapal belayar ke atau dari pelabuhan Iran.

Tindakan biadab itu secara tidak langsung dilihat memusnahkan Memorandum Islamabad untuk menghentikan sementara konflik bagi membolehkan rundingan damai diadakan.

Siri serangan AS sebelum ini menyasarkan Pulau Qeshm serta turut menyerang empat lokasi di Bushehr yang menempatkan satu-satunya loji tenaga nuklear awam Iran, selain kawasan sempadan Iran berhampiran Iraq dan Kuwait.

Meningkatkan serangan

Dalam perkembangan terbaharu, Presiden AS, Donald Trump mengancam akan meningkatkan serangan terhadap Iran dalam beberapa hari akan datang.

Trump berkata, serangan itu akan menyasarkan loji jana kuasa dan jambatan di Iran jika Tehran menurutnya, tidak kembali ke meja rundingan.

“Kami akan menyerang mereka dengan sangat hebat.

“Kami menyerang setiap kemudahan yang mereka miliki di sepanjang pesisir dan kawasan dermaga… Serangan itu akan berterusan sehingga saya mengatakan sudah cukup,” kata Trump dalam wawancara dengan Fox News, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Kata Trump lagi, sasaran tenaga akan jadi yang terakhir dengan serangan sangat hebat ke atas Iran akan berterusan.

“Kami akan menyerang mereka dengan sangat hebat malam ini. Kami akan menyerang mereka dengan sangat hebat malam esok dan malam berikutnya.

“Kemudian, keadaan akan menjadi sangat buruk bagi mereka pada minggu depan kerana loji jana kuasa akan menjadi sasaran. Minggu depan, jambatan pula akan menjadi sasaran.

“Kami akan memusnahkan semua loji jana kuasa dan jambatan mereka, kecuali mereka kembali ke meja rundingan,” kata sekutu rapat Perdana Menteri negara haram Israel, Benjamin Netanyahu itu lagi.

BACA JUGA ‘Nak letak jawatan apa? Saya tak ada jawatan apa-apa pun dalam kerajaan negeri’ – Adly