AMANAH dakwa Islamofobia berpunca daripada Pas 

Kenyataan Pemuda MCA yang menafikan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor disifatkan sebagai bukti bahawa Pas sendiri menjadi punca tercetusnya persepsi Islamofobia dalam negara.

Setiausaha Agung AMANAH, Faiz Fadzil berkata, kenyataan Setiausaha Pemuda MCA, Saw Yee Fung yang memberi jaminan BN tidak akan bekerjasama dengan Pas ketika kempen PRN Johor menunjukkan parti itu sendiri bimbang terhadap imej Pas di mata pengundi.

“Ini jelas menunjukkan bahawa Pas sebenarnya yang menyebarkan Islamofobia sehingga MCA terpaksa berkempen bahawa tiada kerjasama antara BN dan Pas pada PRN Johor.

“Namun di Negeri Sembilan, MCA akhirnya bekerjasama dengan Pas. Keadaan ini dilihat sebagai satu penipuan terhadap rakyat Johor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Faiz, perkembangan itu turut memperlihatkan Pas sanggup mengubah pendirian politik demi memperoleh kuasa, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap konsistensi prinsip yang sering dibawa parti tersebut.

Beliau mendakwa Pas sebelum ini memutuskan hubungan dengan Bersatu sebelum memilih untuk bekerjasama dengan Umno atas alasan penyatuan ummah.

“Kerjasama politik Pas dan BN ini tidak akan kekal lama. Akhirnya ia akan berpecah dan rakyat juga yang terpaksa menanggung kesan akibat ketidakstabilan politik,” katanya.

Imbas kerjasama dengan DAP

Faiz turut mengingatkan bahawa Pas pernah bekerjasama dengan DAP selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 sehingga berjaya membentuk kerajaan negeri di Perak, Selangor dan Pulau Pinang.

Menurutnya, ketika itu Pas mempertahankan kerjasama berkenaan, namun kini mengambil pendirian yang berbeza apabila memilih bekerjasama dengan MCA, di samping menolak sebarang hubungan dengan DAP.

Mengulas dakwaan Presiden Pas bahawa Pakatan Harapan (PH) menjadi pihak yang menyebarkan Islamofobia, Faiz berkata kenyataan Pemuda MCA sendiri sudah memadai untuk menolak dakwaan tersebut.

“Hakikatnya, pendekatan Pas yang sering memainkan sentimen agama dan kaum serta kenyataan yang bersifat ekstrem menyebabkan parti bukan Melayu seperti MCA sendiri berasa takut terhadap Pas.

“Islamofobia yang diperkatakan itu berpunca daripada pendekatan Pas sendiri, bukannya disebabkan pihak lain,” katanya.

Beliau berkata, sikap Pas yang sering menyalahkan pihak lain dalam isu berkenaan boleh diibaratkan seperti pepatah Arab, “dia yang pukul, dia yang menangis.”

BACA JUGA KWAN dirombak selepas 38 tahun, kerajaan wajib simpan sebagai hasil negara