KWAN dirombak selepas 38 tahun, kerajaan wajib simpan sebagai hasil negara

Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) 2026 yang menyaksikan rombakan terbesar terhadap dana amanah negara itu sejak ia ditubuhkan pada 1988.

Pembaharuan tersebut bertujuan memperkukuh KWAN sebagai simpanan antara generasi, sekali gus memastikan sebahagian hasil negara hari ini terus dipelihara untuk manfaat generasi akan datang.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan berkata, pindaan itu mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI memperkukuh pengurusan kewangan awam, meningkatkan disiplin fiskal serta memastikan kekayaan negara diurus secara lebih mampan.

Antara perubahan utama ialah penubuhan Kumpulan Wang Amanah Negara (Diperbadankan) sebagai sebuah badan berkanun yang akan mengambil alih fungsi panel sedia ada bagi mentadbir, mengurus dan melaburkan dana KWAN.

Sepanjang tempoh peralihan, pengurusan dana akan terus dikendalikan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) bagi memastikan operasi dan pelaburan berjalan tanpa gangguan.

Menurut MOF, di bawah pengurusan BNM, nilai KWAN telah berkembang kepada RM22.43 bilion setakat akhir 2024.

Buat pertama kali sejak penubuhannya, RUU itu turut memperkenalkan kewajipan undang-undang mengenai sumber sumbangan kepada KWAN.

Kerajaan Persekutuan diwajibkan menyumbang sekurang-kurangnya 0.1 peratus daripada unjuran hasil tahunan, selain 2 peratus dividen PETRONAS yang diterima kerajaan serta 2 peratus hasil duti eksport sumber menyusut, selepas mengambil kira penyerahhakan kepada kerajaan negeri.

Kerajaan juga dibenarkan menambah jumlah sumbangan melebihi kadar minimum itu pada bila-bila masa.

Pengeluaran lebih ketat

RUU tersebut turut mengehadkan penggunaan dana KWAN kepada tiga sektor utama iaitu pendidikan, penjagaan kesihatan serta mitigasi dan penyesuaian perubahan iklim.

Bagi memastikan dana terus berkembang, pengeluaran tahunan tidak boleh melebihi 50 peratus daripada kadar pulangan benar jangka panjang yang dijangka.

Sebarang pengeluaran melebihi had itu memerlukan kelulusan Dewan Rakyat.

Selain itu, pelaburan KWAN akan dibuat mengikut mandat pelaburan baharu yang lebih moden dengan kepelbagaian kelas aset berdasarkan Peruntukan Aset Strategik yang diluluskan Menteri Kewangan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, sumber yang dinikmati negara hari ini perlu dilihat sebagai amanah kepada generasi akan datang.

“Sumber yang kita nikmati hari ini bukan milik kita semata-mata. Kita memegangnya sebagai amanah untuk generasi masa hadapan.

“Melalui Rang Undang-Undang ini, kerajaan memperkukuh KWAN sebagai simpanan antara generasi dengan memastikan sumber sumbangan yang lebih konsisten, penggunaan yang lebih berdisiplin serta tadbir urus yang lebih kukuh,” katanya.

Beliau berkata, langkah itu akan membolehkan lebih banyak kekayaan negara dipelihara dan diwariskan kepada generasi Malaysia pada masa hadapan.

RUU tersebut kini akan dibentangkan di Dewan Negara untuk kelulusan seterusnya.

BACA JUGA Muhyiddin dakwa Annuar putar fakta, Bersatu bukan mufarakah daripada PN