Ustaz Shahir cakna isu anak muda, ini fokus calon PH di DUN paling ramai di Negeri Sembilan
Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi, Ustaz Ahmad Shahir Mohd Shah, bertekad merampas kembali kerusi berkenaan menerusi pendekatan politik khidmat.
Beliau memberi tumpuan kepada keperluan anak muda, peluang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan isu infrastruktur kawasan perumahan.
Menurutnya, Paroi merupakan DUN terbesar di Negeri Sembilan dengan jumlah pengundi mencecah kira-kira 65,000 orang, sekali gus menjadikan pertandingan tiga penjuru di kawasan itu sebagai satu cabaran besar.
“Saya hanya pendatang baharu yang menawarkan khidmat kepada rakyat.
“Namun, PH perlu membuat ‘come back’ di Paroi kerana kita mempunyai misi untuk menambah jumlah kerusi dalam DUN Negeri Sembilan.
“Ini juga peluang kepada pemimpin muda seperti saya untuk menimba pengalaman dan meneroka landskap Paroi yang berbeza daripada DUN lain,” katanya ketika ditemui media sejurus selesai proses penamaan calon di Dewan Sri Rembau pagi ini.

DUN Paroi menyaksikan pertandingan tiga penjuru apabila Ustaz Shahir bersaing dengan calon Pas-Perikatan Nasional (PN), Kamarol Ridzuan Mohd Zain yang juga penyandang dan Mohd Nazree Mohd Yunos dari Bersatu.
Ustaz Shahir yang juga Setiausaha Pemuda AMANAH Nasional berkata, sejarah politik Paroi yang menyaksikan kerusi berkenaan bertukar tangan memberi ruang kepada PH untuk kembali mencipta kemenangan.
Beliau yakin pengalaman yang dimilikinya, ditambah dengan gerak kerja jentera parti, mampu membantu PH merebut semula kerusi tersebut.
“Kerusi Paroi ini silih berganti. Saya akan menggunakan peluang ini, berbekalkan sedikit pengalaman yang ada, untuk merampas kembali Paroi.
“Kita juga melihat gelombang Tok Min yang mempunyai kekuatan tersendiri. Kita berharap Paroi menjadi antara kerusi yang menerima kesan positif daripada gelombang tersebut,” katanya.

Untuk rekod, N.25 Paroi kini disandang Kamarol Ridzuan Mohd Zain dari Perikatan Nasional (PN) yang memenangi kerusi tersebut pada PRN 2023.
Pemimpin Pas itu menang dengan majoriti 5,539 undi dalam pertandingan tiga penjuru dengan peratusan keluar mengundi sekitar 71.62 peratus.
Pada PRN 2018, kerusi Paroi dimenangi calon PH–AMANAH ketika itu, Datuk Mohamad Taufek Abd Ghani, sebelum dirampas Pas pada 2023.
Rakyat semakin matang
Mengulas lanjut, Ustaz Shahir berkata, rakyat kini semakin matang dan tidak lagi mudah dipengaruhi politik mundur atau sentimen yang membawa masyarakat ke belakang.
Sebaliknya, katanya, pengundi lebih menilai rekod kerja, kemampuan calon menyelesaikan masalah dan tawaran yang mampu meningkatkan taraf hidup masyarakat.
“Rakyat melihat politik khidmat. PH tidak membawa politik ke belakang. Kita mahu politik yang bergerak ke depan.
“Rakyat sekarang lebih rasional dan jauh lebih terbuka, khususnya dengan perkembangan media sosial.
“Keyakinan untuk menang itu ada, tetapi kita tetap perlu bekerja keras. Insya-Allah, kita akan cuba mendapatkan kembali Paroi,” katanya.

Permintaan tinggi
Beliau menegaskan bahawa lebih 50 peratus pengundi Paroi terdiri daripada golongan berusia di bawah 40 tahun, manakala sebahagian besar penduduk berada dalam kelompok pendapatan M40 dan B40.
Justeru, tumpuan utama kempen beliau akan diberikan kepada isu yang dekat dengan kehidupan anak muda, termasuk pendidikan kemahiran, peluang pekerjaan, kesihatan dan perkhidmatan masyarakat.
“Permintaan terhadap pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional, atau TVET, sangat tinggi di Paroi.
“Ramai ibu bapa dan anak muda memerlukan pemimpin yang mampu membuka laluan kepada mereka untuk memasuki bidang TVET, sebelum disambungkan kepada peluang pekerjaan yang sesuai,” katanya.
Selain itu, Ustaz Shahir berkata, pembangunan infrastruktur juga akan menjadi agenda penting memandangkan Paroi mempunyai banyak kawasan perumahan dan hanya sekitar empat atau lima buah kampung.
“Disebabkan Paroi banyak kawasan perumahan, isu infrastruktur menjadi antara perkara paling utama.
“Kita juga akan memberi perhatian kepada isu anak muda, kesihatan dan penyediaan perkhidmatan khusus untuk masyarakat Paroi.
“Insya-Allah, ini akan menjadi tumpuan kami,” kata Ustaz Shahir lagi.
BACA JUGA ‘Lawan sampai menang, tolak pengkhianat, Allahuakbar’ bergema di Negeri Sembilan