“Dengar sendiri rintihan rakyat, Anwar beri bayangan bantuan MADANI bakal diperluas”
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan bahawa Kerajaan MADANI akan terus memperluaskan bantuan kepada rakyat menerusi Belanjawan 2027, selagi kedudukan kewangan negara mengizinkan.
Menurut beliau, usaha meningkatkan taraf hidup rakyat akan terus menjadi keutamaan kerajaan dengan penambahbaikan bantuan sedia ada serta pengukuhan jaringan perlindungan sosial.
Kenyataan itu dibuat selepas beliau menghadiri Program MADANI Kita di Perak, yang disifatkannya sebagai platform untuk memastikan perkhidmatan kerajaan benar-benar sampai ke akar umbi dan menyelesaikan masalah rakyat secara langsung.
Anwar berkata, setiap kali turun padang, beliau berpeluang mendengar sendiri keluhan rakyat, termasuk ibu yang bergelut dengan kos sara hidup, bapa yang berhempas pulas mencari rezeki serta warga emas yang mengharapkan sedikit kelegaan bagi meneruskan kehidupan.
“Suara merekalah yang sentiasa menjadi pedoman dalam setiap keputusan yang kita ambil,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau berkata, kerajaan tidak melihat tugas mentadbir sekadar membangunkan infrastruktur atau projek fizikal, sebaliknya memastikan setiap keluarga menikmati kehidupan yang lebih baik.
Sehubungan itu, katanya, pelbagai inisiatif seperti Jualan Rahmah, Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) akan terus diperkasakan bagi membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup.
Anwar mengakui terdapat pihak yang menganggap nilai bantuan tersebut kecil, namun bagi keluarga yang berdepan kesukaran kewangan, bantuan itu memberi kesan besar kepada kehidupan harian.
“Selagi kemampuan kewangan negara mengizinkan, kita akan terus menambah baik bantuan, memperkukuh jaringan perlindungan sosial serta memastikan kemakmuran negara benar-benar dapat dirasai oleh seluruh rakyat,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan turun padang akan terus menjadi amalan Kerajaan MADANI bagi memastikan setiap dasar yang dirangka berpaksikan realiti dan keperluan sebenar rakyat, menjelang pembentangan Belanjawan 2027.
BACA JUGA PH yakin kekal Negeri Sembilan stabil, seru kempen matang dan hormati Institusi Raja