‘Saya bukan guna aset kerajaan’ – Ketua AMK jawab tuduhan ketika lawatan ke Kelantan

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim menafikan dakwaan bahawa beliau menggunakan aset kerajaan bagi menghadiri beberapa program di Kelantan baru-baru ini.

Beliau berkata, kehadirannya ke negeri itu adalah atas kapasiti sebagai Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bagi mengiringi Perdana Menteri ke beberapa acara rasmi.

“Dakwaan itu tidak betul. Sebenarnya saya ditugaskan untuk menemani Perdana Menteri menghadiri beberapa acara di Kelantan.

“Saya cuma ikut atas kapasiti saya sebagai Setiausaha Politik dalam menjalankan tugas tersebut,” katanya menerusi rakaman video.

Menurut Muhammad Kamil, tugasan itu melibatkan beberapa program rasmi termasuk Majlis Perasmian Terminal Baharu Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, majlis ramah mesra bersama masyarakat di sebuah masjid di Gong Capa serta Konvensyen Parti Keadilan Rakyat di Kota Bharu.

Beliau berkata, dakwaan yang tular di media sosial mengelirukan orang ramai kerana tidak menggambarkan keadaan sebenar.

Sehubungan itu, Muhammad Kamil mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai maklumat yang belum dipastikan kesahihannya, terutama ketika musim pilihan raya.

“Saya nak ingatkan kepada semua, khususnya netizen dan pengguna TikTok supaya lebih berhati-hati. Dalam era teknologi hari ini, fakta boleh diputar belit dan cerita boleh diolah mengikut tujuan serta kepentingan pihak tertentu,” katanya.

Beliau turut mendakwa akan ada pihak yang cuba memanipulasi gambar, video dan kenyataan untuk menyerang lawan politik.

Menurutnya, pengguna media sosial perlu menyemak dan meneliti sesuatu maklumat sebelum mempercayai atau menyebarkannya.

“Fitnah ini bahayanya ataupun kesannya lebih besar daripada membunuh. Hati-hati sebelum kita menerima sesuatu berita, sebelum kita menerima sesuatu kenyataan, siasat dan teliti dahulu,” katanya.

BACA JUGA PH yakin kekal Negeri Sembilan stabil, seru kempen matang dan hormati Institusi Raja