Bertahun-tahun jadi tanda tanya, KDN akhirnya bakal ada data lengkap pelarian 

Selepas sekian lama isu jumlah sebenar pelarian di Malaysia menjadi perdebatan, Kementerian Dalam Negeri (KDN) menjangka memiliki pangkalan data yang lebih lengkap dan boleh dipercayai mengenai golongan itu sebelum penghujung tahun ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, usaha itu dilaksanakan menerusi Program Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) yang diterajui Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bagi membolehkan kerajaan memperoleh maklumat identiti dan biometrik pelarian secara lebih menyeluruh.

“Dalam menguruskan isu pelarian, KDN hari ini melalui JIM menerajui satu projek yang kita namakan DPP. Kita sedang mulakan dan insya-Allah hasilnya akan kita dapat sebelum tamat tahun ini.

“Kita akan mempunyai sejumlah data yang lebih kredibel, data granular lebih lengkap mengandungi semua maklumat tentang pelarian yang berjaya kita daftarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Hari Imigresen 2026 bertemakan Melakar Wajah Baharu Imigresen di Putrajaya, hari ini.

Saifuddin berkata, DPP diwujudkan selaras dengan Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 23 (Semakan 2023) bagi memperkemaskan pengurusan pelarian di negara ini.

Katanya, program itu akan membolehkan kerajaan mengumpul data biometrik dan identiti yang lebih tepat, lengkap serta boleh disahkan, sekali gus membantu proses penyediaan dasar dan penguatkuasaan pada masa hadapan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata kedudukan pasport Malaysia yang kini berada di tangga ketiga paling berkuasa di dunia membuktikan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap integriti sistem imigresen negara.

“Saya juga berbangga kerana permohonan pasport baharu yang diproses dalam tempoh satu jam merupakan antara perkhidmatan pengeluaran pasport terpantas di dunia.

“Baru-baru ini juga kita melancarkan pasport antarabangsa versi baharu dengan 94 ciri keselamatan yang dipertingkatkan bagi memastikan dokumen perjalanan negara terus diyakini,” katanya.

Menurut Saifuddin, JIM bukan sahaja memainkan peranan dalam aspek kawalan sempadan, malah menjadi pemudah cara kepada pelbagai agenda pembangunan negara.

Beliau berkata, antaranya termasuk membantu meletakkan Malaysia sebagai destinasi pelancongan perubatan terbaik dunia pada 2025 serta memudahkan kemasukan pelabur dan tenaga mahir melalui penubuhan dua Expatriate Satellite Centre di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), khususnya bagi sektor strategik seperti semikonduktor.

“JIM kini berdiri sebagai sebuah institusi yang matang, dihormati dan terus berevolusi mengikut tuntutan semasa,” katanya.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban.

BACA JUGA KWAP rugi RM163.4 juta, tapi benarkah pencen penjawat awam kini terancam?