RM7 bilion dah disalur, KUSKOP kini buru sasaran RM15 bilion bantu usahawan
Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) berada di landasan untuk mencapai sasaran menyalurkan RM15 bilion kepada usahawan di seluruh negara tahun ini apabila RM7 bilion telah disalurkan kepada lebih 213,000 usahawan setakat akhir Jun lalu.
Menterinya, Steven Sim berkata, penyaluran itu dilaksanakan menerusi program ‘Power Up 10K’, yang memberi tumpuan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di seluruh negara.
“Sasaran kita tahun ini untuk program ‘Power Up’ adalah menyalurkan sehingga RM15 bilion kepada usahawan di seluruh negara.
“Setakat hujung Jun, kita menyalurkan RM7 bilion kepada lebih 213,000 usahawan di seluruh negara,” katanya selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Menteri Bersama Warga dan Agensi KUSKOP Negeri Sembilan di sini, hari ini.
Bagi Negeri Sembilan, Sim berkata, sebanyak RM345 juta telah disalurkan kepada lebih 6,600 usahawan sepanjang enam bulan pertama tahun ini menerusi pelbagai kemudahan di bawah kementerian itu.
Menurutnya, jumlah tersebut hanya melibatkan pembiayaan yang disediakan KUSKOP dan tidak termasuk dana PMKS yang disalurkan melalui kementerian atau agensi lain.
Pada masa sama, beliau mengarahkan semua agensi KUSKOP di peringkat negeri supaya mempercepatkan proses penyaluran bantuan kepada usahawan yang layak.
“Saya nak agensi kita di peringkat negeri bersaing untuk tengok siapa boleh dengan lebih cepat salurkan kepada mereka yang memerlukan di peringkat negeri masing-masing,” katanya.
Steven turut menggesa agensi di bawah kementerian itu mengubah pendekatan dengan turun padang secara lebih agresif bagi memastikan lebih ramai usahawan mendapat maklumat mengenai skim pembiayaan yang disediakan.
Katanya, agensi tidak seharusnya hanya menunggu permohonan daripada usahawan, sebaliknya perlu memperbanyakkan program jelajah serta promosi melalui platform digital dan media sosial.
“Usahawan perlu tahu apakah skim yang ada, bagaimana hendak memohon dan siapa yang boleh membantu mereka. Sebab itu kita mahu agensi turun padang dengan lebih aktif,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan proaktif itu diyakini dapat mempercepat penyaluran dana sekali gus memastikan lebih ramai usahawan PMKS menerima manfaat daripada pelbagai inisiatif yang disediakan kerajaan.
BACA JUGA Dakwaan rosakkan objek simbol agama Hindu: Tamim mengaku tidak bersalah