Malaysia bukan negara suruhan, kerajaan MADANI tidak tunduk tekanan ahli Kongres AS
Kerajaan MADANI tidak akan berganjak atau tunduk kepada tekanan lapan Ahli Kongres Amerika Syarikat (AS) yang mendesak Washington menilai semula hubungannya dengan Malaysia.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, perkara itu telah dimaklumkan kepada Jemaah Menteri dan pendirian kerajaan kekal jelas bahawa Malaysia tidak akan mengorbankan kedaulatan negara hanya kerana tekanan kuasa asing.
Menurutnya, sebarang keputusan kerajaan akan dibuat berdasarkan kepentingan negara dan rakyat, bukannya mengikut telunjuk atau desakan pihak luar.
Katanya, Malaysia adalah sebuah negara berdaulat dan sudah semestinya tidak akan tunduk dengan desakan atau tekanan daripada negara lain.
“Jemaah Menteri sudah dimaklumkan tetapi kita sudah buat keputusan kekal dengan pendirian, tidak perlu patuh dengan desakan negara luar.
“Keputusan bukan sebab desakan negara luar tetapi berdasarkan kepentingan negara dan rakyat,” katanya pada program santai di Kampung Chennah, hari ini.
Tambahnya, keputusan Perdana Menteri mahu mengusir rakyat Israel di negara ini adalah satu keputusan tegas, sekali gus membuktikan keberanian dalam mempertahankan kedaulatan negara ini.
Sebelum ini, lapan ahli Kongres AS menghantar surat kepada Setiausaha Negara AS, Marco Rubio yang menyuarakan tidak puas terhadap tindakan tegas Anwar yang mahu mengusir segera rakyat Israel yang berada di Malaysia.
Mereka terbabit menyuarakan kebimbangan yang amat serius terhadap kenyataan Anwar.
BACA JUGA Ramai peserta RXZ mahu kekalkan Tok Min