Ramai peserta RXZ mahu kekalkan Tok Min
Peminat motosikal RXZ di Negeri Sembilan dilihat tidak mahu melepaskan peluang menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, 1 Ogos ini.
Reaksi itu dapat dilihat menerusi respons terhadap satu tinjauan santai yang dikongsikan penganalisis politik, Dr Mohd Yusri Ibrahim di Facebook hari ini.
Beliau mengemukakan empat pilihan kepada peminat RXZ di Negeri Sembilan susulan acara RXZ Members 8.0 di Terengganu yang berlangsung hampir serentak dengan hari pengundian PRN Negeri Sembilan.
“Geng-geng RXZ Negeri Sembilan, apa pilihan anda?” soal pensyarah kanan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) itu.
Empat pilihan yang dikemukakan ialah:
A. Menyertai RXZ Members 8.0 sepenuhnya kerana “yang kental pasti sampai”.
B. Mengundi dalam PRN kerana tanggungjawab sebagai warganegara lebih penting.
C. Menghadiri RXZ Members 8.0 pada hari pertama, 31 Julai sahaja sebelum bergegas pulang untuk mengundi pada 1 Ogos.
D. Belum melakukan istikharah.
Menariknya, rata-rata memilih pilihan C, iaitu menghadiri acara berkenaan pada hari pertama sebelum kembali ke Negeri Sembilan bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
Pilihan itu memperlihatkan bahawa minat terhadap acara permotoran tidak menjadi penghalang kepada golongan peminat motosikal itu untuk mengambil bahagian dalam proses demokrasi dan menentukan masa depan pentadbiran negeri.
Mereka berhasrat untuk mengekalkan pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun yang mesra dipanggil Tok Min, yang menerajui Negeri Sembilan sejak 2018.
“C. Demi kekalkan Tokmin,” kata pengguna Facebook, Ridza Bidin yang turut meraih banyak tanda ‘suka’.
Tidak mengabaikan
Dalam kalangan netizen, turut kelihatan seruan supaya peminat RXZ tidak mengabaikan PRN yang hanya berlangsung sekali dalam tempoh lima tahun.
“Event RXZ tiap tahun ada… PRN kena tunggu lima tahun sekali,” kata seorang netizen.
Himpunan RXZ Members 8.0 dijadualkan pada 31 Julai hingga 1 Ogos depan dengan jangkaan kehadiran lebih 100,000 penunggang motosikal dari seluruh negara ke Terengganu.
Seramai 619 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan sepanjang penganjuran program berkenaan bagi memastikan kelancaran lalu lintas serta ketenteraman awam.
Anggota polis turut ditempatkan di beberapa lokasi strategik termasuk Jalan Pantai Seberang Takir (Pantai Miami) dan Jalan Pantai Teluk Ketapang.
Ia bagi menghalang peserta daripada melakukan aksi berbahaya seperti ‘wheelie’ ekoran jalan lurus dan kemungkinan ada penunggang yang mengambil kesempatan untuk menunggang secara berbahaya.
Penganjuran RXZ Members tahun lalu merekodkan dua kemalangan maut, dua kemalangan membabitkan cedera parah dan tujuh kemalangan cedera ringan.
BACA JUGA Anwar ingatkan jangan putus kawan, ‘Madu dan Racun’ iringi gambar bersama Zahid