Sambut baik usaha Kerajaan Pahang, gesa percepat lindungi tanah Orang Asli- ADUN Semambu
Kerajaan Negeri Pahang digesa mempercepatkan proses pewartaan tanah penempatan Orang Asli bagi memberi kepastian undang-undang kepada komuniti terbabit, selepas hanya 30 daripada 264 kampung Orang Asli di negeri itu diwartakan setakat tahun lalu.
ADUN Semambu, Chan Chun Kuang berkata, dialog yang diadakan kerajaan negeri bersama komuniti Orang Asli Kampung Sungai Cot, Mukim Luit, Maran merupakan langkah awal yang positif, namun ia perlu disusuli dengan tindakan yang konkrit dan penyelesaian menyeluruh.
Menurut beliau, isu yang dihadapi penduduk Kampung Sungai Cot bukanlah kes terpencil, sebaliknya mencerminkan kebimbangan yang dikongsi oleh banyak komuniti Orang Asli di seluruh negara mengenai status tanah penempatan, kawasan rayau dan sumber kehidupan mereka.
“Perbincangan dua hala seperti ini perlu diadakan secara konsisten dan disusuli dengan tindakan, keputusan serta pelaksanaan yang jelas.
“Hanya melalui komitmen politik dan tindakan susulan yang konkrit, keyakinan masyarakat terhadap proses penyelesaian dapat diperkukuhkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Chan berkata, penyelesaian isu tanah Orang Asli perlu dilaksanakan secara lebih menyeluruh dan tidak terhad kepada satu-satu kampung sahaja.
Beliau turut menyambut baik komitmen Kerajaan Negeri Pahang untuk mempercepatkan proses pewartaan tanah penempatan Orang Asli, selaras dengan titah Sultan Pahang yang menegaskan bahawa tiada istilah tanah adat tanpa pewartaan yang sah.
Menurutnya, berdasarkan jawapan bertulis Menteri Besar Pahang di Dewan Negeri, kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Khas bagi menyelaras dan mempercepatkan proses pewartaan tanah Orang Asli.
Katanya, antara cabaran utama yang dikenal pasti ialah pertindihan kawasan yang dicadangkan dengan Hutan Simpan dan Tanah Rizab Melayu.
“Sehingga tahun 2025, daripada keseluruhan 264 kampung Orang Asli di Pahang, hanya 30 kampung telah diwartakan, manakala 234 kampung lagi masih belum menerima pewartaan.
“Statistik ini menunjukkan masih terdapat jurang yang besar dan usaha pewartaan perlu dipercepatkan supaya setiap komuniti Orang Asli mendapat kepastian terhadap status penempatan mereka di sisi undang-undang,” katanya.
Beliau berkata proses pewartaan bukan sekadar melibatkan urusan pentadbiran tanah, malah berkait rapat dengan pengiktirafan hak masyarakat Orang Asli untuk menentukan masa depan mereka sendiri.
Chan berpandangan prinsip penentuan nasib sendiri (self-determination) yang diiktiraf dalam undang-undang antarabangsa perlu diterjemahkan dalam dasar kerajaan.
Katanya, komuniti Orang Asli perlu diberikan ruang untuk menentukan corak kehidupan, pembangunan dan penggunaan tanah mengikut adat, budaya serta aspirasi mereka.
Sehubungan itu, beliau berharap Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Pejabat Tanah dan Galian Pahang serta agensi berkaitan dapat memperkukuhkan kerjasama bagi mempercepatkan proses pewartaan.
“Semakin cepat proses ini diselesaikan, semakin cepat masyarakat Orang Asli memperoleh kepastian terhadap status penempatan mereka, sekali gus mengurangkan pertikaian dan konflik berkaitan tanah pada masa hadapan,” katanya.
BACA JUGA Laporan RCI Tabung Haji bakal didedah? Anwar kata rakyat berhak tahu apa sebenarnya berlaku