Selepas kerajaan tambah dana kepada RM150 juta, PM gesa MITRA turun cari mereka yang tercicir

Perdana Menteri menegaskan bahawa usaha memperkasa masyarakat India tidak boleh terhenti pada pengumuman dasar atau program semata-mata, sebaliknya mesti diterjemahkan kepada manfaat sebenar kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

Dalam pertemuan bersama ketua-ketua masyarakat India hari ini, beliau berkata, agenda pemerkasaan perlu memberi keutamaan kepada pendidikan berkualiti, kebajikan menyeluruh, peningkatan kemahiran serta penyediaan peluang pekerjaan yang lebih baik.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, aspek berkenaan penting bagi memastikan masyarakat India mendapat peluang yang adil untuk meningkatkan taraf hidup dan membina masa depan yang lebih terjamin.

Pertemuan Perdana Menteri itu susulan pengumuman beliau pada Mei lalu menaikkan peruntukan MITRA kepada RM150 juta mulai tahun ini, berbanding RM100 juta sejak penubuhannya lebih 20 tahun lalu.

Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan MITRA serta semua agensi berkaitan supaya tidak hanya menunggu permohonan atau bergantung kepada laporan di atas kertas.

Sebaliknya, tegas Anwar, mereka perlu terus turun padang, mendekati masyarakat serta mengenal pasti sendiri keperluan sebenar yang dihadapi di peringkat akar umbi.

“Saya turut mengingatkan agar MITRA dan semua agensi berkaitan terus turun padang, mendekati masyarakat, mengenal pasti keperluan sebenar di lapangan dan memastikan setiap inisiatif yang dilaksanakan memberi manfaat kepada golongan yang benar-benar memerlukan,” katanya.

Beliau menambah pendekatan berteraskan ihsan, kebertanggungjawaban dan tata kelola yang baik amat penting bagi memastikan tiada mana-mana kelompok masyarakat tercicir daripada arus pembangunan negara.

“Hanya dengan pendekatan yang berteraskan ihsan, kebertanggungjawaban dan tata kelola yang baik, kita dapat memastikan tiada kelompok yang tercicir daripada arus pembangunan negara, lantas mempunyai peluang yang adil untuk melakar masa depan yang lebih baik,” kata Anwar lagi.

BACA JUGA Mujahid tunggu kebenaran didedah dalam laporan RCI selepas lama difitnah isu TH