Asyraf cuba nak main sentimen, ‘disekolahkan’ netizen selepas sembang isu MB dan DAP

Percubaan Setiausaha Agung Umno, Datuk Wira Dr Asyraf Wajdi Dusuki mengaitkan kemungkinan calon DAP dilantik sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan mengundang kritikan lantaran bercanggah dengan peruntukan Perlembagaan Negeri.

Pemerhati politik, Afiq Noordin berkata, beliau menghargai dan memandang tinggi kerja lapangan Asyraf selaku Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Bagaimanapun, menurutnya, keterujaan ketika berkempen mungkin menyebabkan pemimpin Umno itu membuat kenyataan tanpa menyemak keseluruhan fakta terlebih dahulu.

“Saya sangat memandang tinggi kerja lapangan Dr Asyraf Wajdi sebagai Pengerusi MARA.

“Tapi mungkin keterujaan semasa berkempen buatkan beliau terlepas cakap tanpa menyemak fakta,” katanya, menerusi perkongsian di Facebook.

Semalam, Asyraf dilapor mendakwa Pakatan Harapan (PH) hanya mempunyai Datuk Seri Aminuddin Harun atau Tok Min sebagai calon Menteri Besar.

Pemimpin BN berusia 50 tahun itu mendakwa PH tidak mempunyai pilihan selain mengangkat calon DAP sebagai Menteri Besar sekiranya Tok Min tewas di kerusi Linggi yang disifatkannya sebagai kubu kuat BN.

“Jika Tok Min kalah, siapa jadi MB calon PH? Anthony Loke ke? Nak ke orang Negeri Sembilan Anthony Loke jadi MB?” soal Asyraf, dipetik Malaysia Gazette.

Mengulas lanjut, Afiq berkata, kenyataan Asyraf itu seolah-olah cuba memainkan sentimen terhadap DAP tanpa menerangkan kepada pengundi bahawa syarat pelantikan ketua kerajaan tidak sama bagi setiap negeri.

Jelasnya, Malaysia bukan sahaja mempunyai Perlembagaan Persekutuan, malah setiap negeri turut mempunyai perlembagaan masing-masing yang menentukan struktur pentadbiran serta kaedah pelantikan Menteri Besar, Ketua Menteri atau Premier.

“Ramai mungkin tak tahu yang setiap negeri di Malaysia ada Perlembagaan Negeri.

“Sebab itu, syarat pelantikan Menteri Besar atau Ketua Menteri juga tak sama,” jelasnya.

Syarat tambahan

Bagi Negeri Sembilan, Afiq merujuk Perkara 36 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 berhubung proses pelantikan Menteri Besar.

Menurut penjelasannya, Yang di-Pertuan Besar perlu melantik seorang Ahli Dewan Undangan Negeri yang pada hemat baginda mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan sebagai Menteri Besar.

Namun, katanya, perlembagaan negeri turut mengandungi syarat tambahan berkaitan bangsa, agama dan taraf kewarganegaraan calon tersebut, di samping peruntukan pengecualian tertentu.

Teks Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 merupakan dokumen asas yang menetapkan struktur kerajaan negeri, termasuk pembentukan badan eksekutif dan pelantikan Menteri Besar.

Afiq berkata, ini bermakna isu pelantikan Menteri Besar tidak boleh disederhanakan seolah-olah mana-mana calon boleh terus diangkat hanya kerana datang dari parti tertentu.

Selain mendapat kepercayaan majoriti Dewan, proses itu mesti dilaksanakan mengikut peruntukan Perlembagaan Negeri serta budi bicara pihak berkuasa negeri yang diperuntukkan undang-undang.

“Ini bermaksud, mendapat sokongan majoriti saja tak cukup. Calon juga perlu memenuhi syarat yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan Negeri Sembilan,” katanya.

Peruntukan khusus

Afiq turut menegaskan bahawa Negeri Sembilan bukan satu-satunya negeri yang mempunyai peruntukan khusus berkaitan pelantikan Menteri Besar.

Menurutnya, negeri-negeri yang mempunyai institusi Raja Melayu seperti Johor, Kedah, Kelantan, Pahang, Perak, Perlis, Selangor dan Terengganu turut mempunyai peruntukan yang hampir sama dalam perlembagaan negeri masing-masing.

Walaupun terdapat perbezaan pada frasa, syarat dan pengecualian, katanya, prinsip asas pelantikan Menteri Besar di negeri-negeri beraja perlu dibaca bersama sejarah dan struktur pemerintahan negeri tersebut.

Justeru, beliau menyifatkan gambaran bahawa calon DAP akan dilantik secara automatik sebagai Menteri Besar sebagai terlalu mudah dan tidak menerangkan keseluruhan proses perlembagaan kepada pengundi.

Dalam pada itu, Afiq menjelaskan bahawa Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak mempunyai struktur yang berbeza kerana negeri-negeri berkenaan diketuai Yang di-Pertua Negeri, bukannya Sultan, Raja atau Yang di-Pertuan Besar.

Oleh itu, ketua kerajaan bagi negeri berkenaan menggunakan gelaran Ketua Menteri, kecuali Sarawak yang kini menggunakan gelaran Premier.

Syarat utama pelantikan lazimnya tertumpu kepada seseorang Ahli Dewan Undangan Negeri yang mendapat kepercayaan majoriti Dewan, tertakluk kepada perlembagaan negeri berkenaan.

Beliau memberi contoh Pulau Pinang yang pernah dipimpin Lim Chong Eu, Koh Tsu Koon dan Chow Kon Yeow.

Sabah pula pernah dipimpin tokoh daripada pelbagai latar belakang etnik, termasuk Tun Fuad Stephens dan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, manakala Sarawak pernah dipimpin Tan Sri Stephen Kalong Ningkan.

Menurut Afiq, sejarah tersebut menunjukkan syarat pelantikan ketua kerajaan negeri tidak seragam di seluruh negara dan tidak wajar dicampuradukkan untuk membangkitkan ketakutan pengundi.

Pernah bekerjasama

Afiq turut mempersoalkan tindakan memainkan sentimen DAP sedangkan BN pernah bekerjasama dengan PH dalam PRN Negeri Sembilan pada 2023.

Katanya, kerjasama tersebut menyaksikan kedua-dua gabungan saling membantu calon masing-masing, termasuk di kawasan yang ditandingi DAP.

Situasi hampir sama, katanya, pernah berlaku apabila Bersatu bekerjasama dengan DAP menerusi PH pada Pilihan Raya Umum 2018, manakala Pas juga pernah bersama parti itu dalam Pakatan Rakyat sebelum kerjasama berkenaan berakhir.

“Jadi, tak perlu sebenarnya timbul kenyataan seperti ini, lagi-lagi sebelum ini BN pun pernah kerjasama dengan PH masa PRN 2023 yang mana masa itu pun mereka secara tidak langsung berkempen untuk DAP.

“Sama juga dengan Bersatu masa PRU 2018 dan buat PAS pada tahun sebelum itu lagi.

“Tapi sekarang semua asyik meratib DAP. Hairan sungguh,” sindirnya.

Menurut Afiq, kempen PRN sepatutnya memberi tumpuan kepada prestasi pentadbiran, tawaran kepada rakyat dan kemampuan calon menyelesaikan masalah negeri.

Sebaliknya, cubaan membangkitkan kemungkinan calon DAP menjadi Menteri Besar tanpa menerangkan proses sebenar pelantikan hanya dilihat sebagai usaha memainkan sentimen politik lama.

“Mungkin masa itu mereka tak perasan barangkali,” katanya secara sinis.

BACA JUGA Akhirnya Hamzah mengaku dia keluar Umno untuk bantu Umno