Peniaga jawab ‘rahsia’ tapi reaksi calon BN ini mengejutkan
Betapa teruknya cara calon Barisan Nasional (BN) bagi DUN Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin berkempen apabila mengaitkan undi kepada Pakatan Harapan (PH) dengan DAP.
Tempoh kempen sewajarnya menjadi medan untuk calon membuktikan kemampuan menjaga kebajikan rakyat sebaliknya BN menakut-nakutkan pengundi dengan memainkan sentimen terhadap PH.
Menerusi rakaman video yang tular, Asna yang juga penyandang kerusi DUN Lenggeng dilihat bertanyakan kepada seorang peniaga mengenai parti yang akan dipilih dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada 1 Ogos depan.

“Undi siapa?” tanya pemimpin berusia 47 tahun itu kepada seorang peniaga.
“Rahsia,” jawab peniaga itu secara ringkas sambil ketawa.
Naib Ketua Umno Bahagian Seremban berkenaan kemudian membalas dengan mendakwa jawapan tersebut menunjukkan peniaga berkenaan berkemungkinan menyokong PH.
“Alamak. Undi rahsia, pasti Pakatan Harapan ni,” katanya yang menang dengan majoriti hanya 685 undi pada PRN 2023.
Asna seterusnya berpesan supaya peniaga berkenaan tidak mengundi PH dengan menggunakan sentimen terhadap DAP.
“Tak nak undi Pakatan Harapan tau. Undi Pakatan Harapan dapat DAP,” hasutnya lagi.
Menjelaskan tawaran
Mengulas pendekatan kempen itu, Timbalan Ketua Penerangan PKR Negeri Sembilan, Edy Noor Reduan menegaskan calon BN berkenaan sepatutnya menjelaskan tawaran, perancangan dan khidmat yang mahu dibawa kepada penduduk Lenggeng.
“Dah kenapa kempen cara begitu? Sepatutnya sebagai calon Lenggeng, ceritakanlah apa yang kau tawarkan untuk penduduk Lenggeng.
“Kau tuduh pula peniaga itu undi Pakatan Harapan. Biarlah kalau dia nak undi Pakatan Harapan pun,” tempelak Edy.
Menurut Edy, calon yang bertanding sepatutnya menghormati hak pengundi untuk merahsiakan pilihan masing-masing dan tidak terlalu mendesak rakyat menyatakan kecenderungan politik mereka.
“Janganlah ketagih sangat undi sampai tahap begitu,” tegasnya.
Dalam masa sama, Edy turut menyeru peniaga terbabit serta rakyat Negeri Sembilan agar meneruskan sokongan kepada PH bagi mengekalkan pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun atau Tok Min.
“Negeri Sembilan elok dah. Kekalkan Tok Min. Kekalkan HARAPAN,” seru beliau lagi.
Untuk rekod, DUN Lenggeng menyaksikan pertandingan tiga penjuru melibatkan Asna, Zarinna Abu Zarin (PH–AMANAH) dan Zool Amali Hussin dari Bersatu.

BACA JUGA Akhirnya Hamzah mengaku dia keluar Umno untuk bantu Umno