Umno melenting isu RCI Tabung Haji, kena atas bisul ke?

Umno dilihat mula terasa bahang susulan keputusan kerajaan untuk mendedahkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) kepada umum.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan mendakwa kononnya kerugian TH disebabkan kesan kejatuhan pasaran saham selepas Barisan Nasional (BN) tumbang pada 2018.

Menurutnya, perubahan kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 telah mencetuskan persepsi ketidakstabilan negara dalam kalangan pelabur, sekali gus menyebabkan pasaran saham merudum.

Timbalan Menteri Kerja Raya itu mendakwa kejatuhan harga saham merupakan antara faktor utama yang menjejaskan pelaburan Tabung Haji, dan perkara sama turut berlaku kepada Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV).

“Saya ingin menyebut kenapa pasaran saham merudum. Pertama, BN kalah. Pemain saham anggap keadaan negara tidak stabil,” katanya menerusi klip rakaman video dikongsikan Facebook Umno Online.

Pemansuhan GST

Ahmad turut mengaitkan pemansuhan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) ketika itu sebagai faktor yang dikatakan memberi sentimen negatif kepada pasaran.

“Kedua, pemansuhan GST memberi sentimen tidak baik kepada pasaran saham apabila mereka menjangkakan negara akan kehilangan hasil yang besar,” katanya selepas ceramah kempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Ahli Parlimen Pontian sejak PRU 2008 itu turut membangkitkan isu angka hutang negara yang diumumkan selepas pertukaran kerajaan pada 2018.

“Ketiga, daripada RM850 bilion hutang, tetapi disebut hutang RM1.3 trilion.

“Ketiga-tiga perkara ini menyebabkan pasaran saham memberi reaksi yang negatif. Maka segala yang melibatkan pasaran saham Tabung Haji pun jatuh dan rugi,” ujarnya.

Pemimpin BN berusia 60 tahun itu berkata, faktor tersebut tidak diberikan perhatian sewajarnya dalam perbincangan mengenai masalah kewangan TH.

“Itu tidak disebut. Tidak adillah. Itu juga yang berlaku pada FGV. Perkara itu tidak disebut,” katanya.

Maklumat tepat

Bekas Timbalan Menteri Kewangan serta bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri antara 2013 hingga 2018 itu seterusnya menafikan masalah yang berlaku berpunca daripada pentadbiran BN atau kepimpinan TH pada waktu berkenaan.

“Ia bukan salah BN atau Pengerusi Tabung Haji.

“Saya kira fakta dan maklumat yang tepat ini perlu dijelaskan,” katanya.

Untuk rekod, RCI berkenaan ditubuhkan untuk menyiasat isu berbangkit berkaitan pengurusan dan operasi Tabung Haji bagi tempoh 2014 hingga 2020, termasuk ketika institusi tersebut berada di bawah pentadbiran kerajaan BN.

Mengulas lanjut, Ahmad turut memberi amaran supaya pihak lain tidak menganggap Umno kekurangan maklumat mengenai perkara tersebut.

“Macamlah kita tidak tahu. Macamlah kita tak reti. Jangan anggap kita ini tidak ada maklumat.

“Kita mempunyai maklumat yang banyak tentang itu.

“Mereka anggap kita mudah lupa tetapi kami tidak mudah lupa,” kata Ahmad lagi.

BACA JUGA Asyraf cuba nak main sentimen, ‘disekolahkan’ netizen selepas sembang isu MB dan DAP