Cuba nafikan isu air keruh, penyokong Pas kena sekolah dengan rakyat Kelantan
Satu hantaran penyokong tegar Pas yang cuba menafikan masalah bekalan air keruh di Kelantan dengan menunjukkan bukti bahawa kediamannya sentiasa mendapat air bersih, mengundang reaksi tidak dijangka daripada pengguna media sosial.
Menerusi satu hantaran di Threads, lelaki berkenaan mendakwa pihak yang sering menuduh air paip di Kelantan sentiasa keruh seperti air teh sebenarnya sengaja membina naratif untuk membenci Pas.
Menurutnya, air yang dibekalkan ke rumah banglonya berada dalam keadaan sangat jernih dan diuruskan oleh syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).
“Pembenci Pas selalu buat naratif air paip di Kelantan serupa air teh (keruh). Dari zaman arwah TGNA lagi naratif ini di mainkan. Video adalah keadaan air yang sangat jernih yang dibekalkan oleh kerajaan negeri Kelantan yang dikendalikan oleh syarikat AKSB.
“Bekalan air ini untuk rumah banglo ke dua saya atas tanah suku ekar. Bekalan air di rumah banglo pertama saya pun jernih juga airnya yang mula saya duduki pada tahun 2011. Juga dibekalkan oleh AKSB,” kongsinya di Threads.
Bagaimanapun, hantaran itu menerima respons balas daripada ramai orang Kelantan yang berkongsi bukti air paip berwarna coklat dan keruh yang berlaku di kediaman mereka sejak bertahun-tahun.
Hantaran itu juga bertukar menjadi medan penduduk mempamerkan sendiri keadaan bekalan air di kawasan mereka, sekali gus mematahkan dakwaan bahawa isu air keruh di Kelantan sekadar naratif politik pihak yang membenci Pas.
Seorang pengguna berkata, air di rumahnya berada dalam keadaan sedemikian sejak lebih lapan tahun walaupun telah menggunakan penapis.
“Ini air rumah ambo pok cik weyy. Lebih lapan tahun doh gini. Padahal pakai filter doh tu,” tulisnya dalam loghat Kelantan sambil memuat naik video air berwarna gelap memenuhi sebuah bekas.
Seorang lagi pengguna dari bandar Pasir Puteh turut berkongsi video air keruh yang mengalir dari paip rumahnya.
“Nah pokcik, rumah saya bandar Pasir Puteh. Ini bukan naratif jahat, ini adalah fakta,” katanya.
“Pokcik. Pah kiro gano ni rumoh mok kito alah ko Lundang ni? Air kalar gapo ni? Mok kito beli la kolam inflatable untuk cucu dio. Apo air gini. Salah mok kito ko bayar bil air bulan-bulan ko AKSB? Kito dari kecik lagi baju sekolah keno beli banyak pasang tiap-tiap tahun sebab baju sekolah lekat karat air. Pokcik tunjuk rumoh pokcik seorang tidok mewakili the whole demographic. Cuba buko FB AKSB ramai puji ko menyumpah,” kata pengguna lain.
Rata-rata menegur individu tersebut supaya tidak menjadikan keadaan bekalan air di rumahnya sebagai gambaran keseluruhan situasi yang dihadapi rakyat Kelantan.
BACA JUGA MP DAP gesa Sanusi disiasat kerana ceramah kempen berbaur perkauman