‘Dey Macha!’ – SetPol Sanusi suruh Presiden MIC belajar BM, masuk kelas Pasti
Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Kedah, Zulkifli Yahaya tampil mempertahankan kenyataan kontroversi yang dibuat Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam ceramah kempennya kelmarin.
Ia berhubung kenyataan Sanusi yang menyebut “Cina ada China, India ada India, Melayu hanya ada Tanah Melayu”.
Dalam hantaran balas di Facebook, Zulkifli menempelak Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran dengan mengatakan Sanusi tidak pernah mendakwa beliau sebagai rakyat Malaysia berketurunan India adalah warganegara India.
Sebaliknya kata beliau, Sanusi hanya mengingatkan orang Melayu supaya tidak berpecah.
“Dey macha. MB Sanusi tak pernah dakwa hang atau orang India di Malaysia sebagai warganegara India. Dia sebut, setiap bangsa dalam dunia ada negaranya.
“Negara India dan China adalah milik bangsa India dan Cina, sebagai bangsa pribumi negara tersebut. Negara India dan China bukan milik bangsa Melayu.
“Sanusi nak ingatkan orang Melayu jangan berpecah, sehingga negara Malaysia (Tanah Melayu) ini berpindah milik kepada pihak lain,” katanya.
Beliau juga secara sinis menyarankan supaya ketua MIC itu masuk kelas tadika Pasti dan belajar bahasa Melayu sehingga faham.
“Kalau itu pun tak faham, macha boleh masuk kelas Pasti. Belajar Bahasa Melayu sampai faham,” tambahnya.
Semalam, Vigneswaran menggesa Barisan Nasional (BN) supaya bergerak secara solo tanpa sebarang kerjasama dengan PN susulan kenyataan kontroversi pemimpin Pas tersebut.
Katanya, kenyataan itu bukan sahaja memecah-belahkan masyarakat majmuk malah meletakkan MIC dan parti-parti komponen BN dalam kedudukan sukar kerana terpaksa berdepan dengan naratif bercanggah dengan semangat perpaduan yang selama ini diperjuangkan.
“Kami bukan rakyat India atau China. Kami rakyat Malaysia. Malaysia adalah tanah air kami dan kesetiaan kami hanya kepada negara serta Yang di-Pertuan Agong.
“Politik yang memainkan sentimen perkauman hanya akan memecah-belahkan rakyat,” katanya semalam.
BACA JUGA Cuba nafikan isu air keruh, penyokong Pas kena sekolah dengan rakyat Kelantan