Zahid minta Sanusi balik Kedah, jaga negeri lagi baik

Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, adalah lebih baik sekiranya Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor fokus sahaja kepada kerja pentadbiran di Kedah daripada turun berkempen di Negeri Sembilan.

Beliau berkata, berbaki enam hari lagi tempoh berkempen, biarlah BN sahaja yang mengendalikan program kempen untuk mengelakkan timbul sebarang isu yang akhirnya meresahkan semua kaum.

“Kalau mereka berhasrat untuk berkawan, buatlah cara mahu berkawan. Kalau boleh sehingga hari Sabtu nanti, ada enam hari lagi, eloklah beliau sibukkan diri beliau mentadbir negeri Kedah.

“Tak perlu datang lah Negeri Sembilan rasanya. Biarlah kita manage Negeri Sembilan dengan cara kita sendiri,” katanya dalam sidang media sebentar tadi.

Ahmad Zahid berkata, ucapan Sanusi mungkin hanya sesuai untuk khalayak di Kedah, tetapi tidak di Negeri Sembilan.

Beliau mengingatkan pemimpin Pas itu supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.

Kata beliau, jika hasrat Sanusi adalah untuk memperlihatkan penyatuan dalam kalangan umat Islam, beliau tidak perlu menyentuh isu berkaitan etnik, agama, budaya atau kaum lain di negara ini.

“Saya nak respon lah kepada Sanusi. Ucapan beliau mungkin sesuai untuk khalayak negeri Kedah. Saya tidak berhasrat untuk menasihatkan, tetapi sekadar mengingatkan.

“Biarpun ada harimau di dalam dada beliau, tetapi yang yang keluar daripada kalam beliau itu kambing sahaja. Saya tidak mahu timbul intrepetasi yang akhirnya meresahkan pelbagai kumpulan kaum. 

“Kalau hasrat beliau adalah untuk memperlihatkan penyatuan dalam kalangan ummah, tak perlu pun menyentuh mengenai etnik, agam, budaya atau lain-lain kaum di negara ini,” tambahnya lagi.

BACA JUGA ‘Dey Macha!’ – SetPol Sanusi suruh Presiden MIC belajar BM, masuk kelas Pasti