BN secara rasmi tolak politik perkauman, ketakutan Pas

Barisan Nasional (BN) tampil mengeluarkan pendirian rasmi dengan menegaskan parti itu tidak akan berkompromi dengan sebarang kenyataan yang menghidupkan sentimen perkauman, beberapa hari selepas ucapan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, mencetuskan polemik sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, politik yang mempersoalkan kedudukan mana-mana kaum sebagai sebahagian daripada warga Malaysia tidak mempunyai tempat dalam negara yang sudah hampir tujuh dekad merdeka.

“Barisan Nasional menolak dan tidak akan berkompromi dengan sebarang kenyataan yang menghidupkan sentimen perkauman, mempersoalkan kedudukan mana-mana kaum sebagai sebahagian daripada warga Malaysia atau menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat.

“Selepas hampir tujuh dekad merdeka, politik yang memecah-belahkan rakyat mengikut asal usul kaum tidak mempunyai tempat dalam membina sebuah negara bangsa yang bersatu,” katanya.

Kenyataan itu dipercayai dibuat susulan kontroversi ucapan Sanusi yang dilaporkan berkata “orang Cina ada China, orang India ada India, manakala orang Melayu hanya ada Tanah Melayu”, sekali gus mengundang kritikan pelbagai pihak termasuk pemimpin kerajaan, Barisan Nasional dan beberapa pertubuhan masyarakat.

Mengulas lanjut, Zambry berkata BN turut menolak politik ketakutan yang dimainkan dengan menggambarkan kononnya sesuatu kaum akan terancam sekiranya parti tertentu memerintah.

“Politik ketakutan adalah berbahaya kerana ia mengundang curiga, prasangka dan kebencian,” katanya.

Pada masa sama, beliau menegaskan kerjasama politik yang diwujudkan dalam PRN Negeri Sembilan tidak bermaksud BN menggadaikan prinsip perjuangannya atau menerima naratif politik mana-mana pihak.

Sebaliknya, katanya, BN kekal berdiri atas prinsip sendiri.

Beliau berkata, BN akan terus menawarkan politik kesederhanaan, kestabilan dan perpaduan berasaskan Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara serta formula kenegaraan yang mempertahankan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, institusi Raja-Raja Melayu, hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta hak-hak sah semua warganegara.

Menurut Zambry, asas itulah yang telah menyatukan negara sejak merdeka dan perlu terus dipertahankan.

Beliau turut menegaskan BN akan terus menolak mana-mana pihak yang membina tembok perkauman dan meniupkan politik kebencian.

“Barisan Nasional akan terus mengekalkan kepimpinan yang membina jambatan perpaduan, mengukuhkan keyakinan rakyat dan menawarkan masa depan yang dikongsi bersama oleh seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

BACA JUGA Dulu semak samun dan paya – Pengarah PTG imbau sumbangan Tok Min hidupkan pembangunan Kuala Pilah