Rumah generasi kedua Felda tak boleh tunggu lagi, Anwar arah pelaksanaan dipercepat
Penantian ribuan keluarga peneroka Felda untuk memiliki rumah generasi kedua dijangka berakhir apabila kerajaan memutuskan untuk menyegerakan pelaksanaan projek yang tertangguh sejak sekian lama.
Bagi memastikan projek itu tidak lagi terperangkap dalam kelewatan birokrasi, kerajaan akan menyediakan satu kertas dasar dalam tempoh sebulan untuk dibentangkan kepada Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri, sekali gus menyelaras pelaksanaan bersama kerajaan negeri.
Menurut Perdana Menteri, keputusan untuk membina rumah generasi kedua Felda telah dibuat, namun pelaksanaannya memerlukan kerjasama kerajaan negeri terutama dalam penyediaan kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik.
“Keputusan sudah kita buat, cuma pelaksanaannya memerlukan penglibatan kerajaan negeri termasuk penyediaan kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik.
“Seminggu dua lalu, TNB telah diarah memasang bekalan elektrik. Dapat buat sementara pun tidak mengapa. Saya tidak mahu dengar masalah jalan atau air kerana itu melibatkan kerajaan negeri,” katanya ketika berucap pada Program Santai Perantau sempena sambutan 70 Tahun Felda di Kuala Lumpur malam tadi.
Beliau turut mengarahkan pengurusan Felda mengemukakan laporan kemajuan projek setiap bulan bagi memastikan semua inisiatif yang diumumkan dapat dilaksanakan mengikut jadual.
Katanya, rakyat sudah terlalu lama menunggu dan kerajaan tidak mahu kelewatan pelaksanaan menjejaskan keyakinan peneroka terhadap komitmen yang diberikan.
“Kadang-kadang saya tidak salahkan rakyat. Kita umum, tetapi pelaksanaannya lambat sehingga orang bosan menunggu. Saya tidak mahu ada masalah dari sudut kelewatan,” katanya.
Beliau turut memberi jaminan bahawa sebarang kekangan kewangan yang timbul akan diteliti bersama Kementerian Kewangan bagi memastikan projek tersebut dapat diteruskan.
Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri berkata pindaan Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 (Akta 530) yang menjadi asas kepada pembinaan lebih daripada satu unit rumah di atas lot peneroka dijangka dibawa ke Kabinet sebelum penghujung tahun ini.
Menurutnya, pindaan itu penting bagi menyelesaikan pelbagai isu perundangan yang selama ini menghalang pelaksanaan projek rumah generasi kedua Felda.
“Jika dipersetujui Felda, Kerajaan Persekutuan dan tidak dibantah kerajaan negeri, sebaik-baiknya akta itu diluluskan supaya segala isu yang tertangguh dapat diselesaikan.
“Sementara saya masih ada, hal ini saya mahu selesaikan dahulu,” katanya.
Pada 7 Julai lalu, kerajaan mengumumkan tujuh inisiatif sempena Sambutan Hari Peneroka dan 70 Tahun Felda, termasuk pembiayaan semula pinjaman sukuk Felda berjumlah RM990 juta, penghapusan hutang peneroka serta peruntukan melebihi RM1 bilion dalam Belanjawan tahun hadapan bagi meneruskan agenda memperkukuh kebajikan warga Felda.
Penyelesaian isu rumah generasi kedua menjadi antara fokus utama pakej tersebut memandangkan ia merupakan tuntutan yang telah lama dibangkitkan oleh komuniti peneroka di seluruh negara.
BACA JUGA Zahid minta Sanusi balik Kedah, jaga negeri lagi baik