Dituduh dikawal DAP, Istana Negeri Sembilan tampil nafi dakwaan Umno
Istana Negeri Sembilan menegaskan institusi diraja negeri itu kekal berkecuali dan tidak pernah berpihak kepada mana-mana parti politik, susulan dakwaan yang mengaitkan istana dengan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN).
Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Azizi Mohamad Ali berkata, sebarang dakwaan, kenyataan, gambar, video atau bahan yang mengaitkan Istana Negeri Sembilan, Yang di-Pertuan Besar atau kerabat diraja dengan mana-mana parti politik adalah tidak benar.
Beliau berkata, institusi diraja sentiasa menjunjung prinsip berkecuali selaras dengan peranannya sebagai payung perpaduan rakyat serta pemelihara keharmonian, kestabilan dan kesejahteraan negara.
“Institusi raja merupakan payung perpaduan rakyat yang berperanan memelihara keharmonian, kestabilan serta kesejahteraan negara.
“Sehubungan itu, institusi diraja sentiasa menjunjung prinsip berkecuali dan tidak berpihak kepada mana-mana parti politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan itu dilihat sebagai respons terhadap dakwaan yang dibangkitkan dalam kempen pilihan raya yang cuba mengaitkan Istana Negeri Sembilan dengan mana-mana parti politik.
Sehubungan itu, Azizi menasihatkan semua parti dan calon yang bertanding agar tidak mengheret institusi diraja ke dalam ceramah atau kempen sepanjang PRN berlangsung.
Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya tidak memainkan isu berkaitan agama, kaum dan institusi diraja (3R), sebaliknya menjalankan kempen secara berhemah, beretika serta mematuhi undang-undang.
“Istana Negeri Sembilan menghargai kerjasama semua pihak dalam memastikan institusi diraja terus dihormati dan dipelihara daripada sebarang salah tafsir atau eksploitasi bagi kepentingan mana-mana pihak,” katanya.
Dalam pada itu, orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak mempercayai atau menyebarkan maklumat yang tidak disahkan, sebaliknya merujuk kepada saluran rasmi Istana Negeri Sembilan bagi mendapatkan maklumat yang tepat dan sahih.
Terdahulu, menerusi klip tular berdurasi 27 saat itu, Ketua Penerangan Umno Rembau, Shukri Samsudin didakwa berucap dengan berkata, Tuan-tuan bayangkan apa maruah kita, sampai istana, negeri, menteri besar, kuasa negeri habis dipegang oleh DAP ini?”
Ungkapan beliau tersebut mendakwa seolah-olah kuasa negeri termasuk institusi istana dan Menteri Besar Negeri Sembilan dikuasai DAP.
BACA JUGA Istana bukan modal politik, Tok Min mahu penghasut 3R diambil tindakan