Istana bukan modal politik, Tok Min mahu penghasut 3R diambil tindakan
Datuk Seri Aminuddin Harun menegaskan bahawa sebarang cubaan mengheret institusi diraja dalam kempen Pilihan Raya Negeri Negeri Sembilan (PRN) Negeri Sembilan tidak sepatutnya berlaku kerana boleh mencetuskan perpecahan dalam kalangan masyarakat.
Menteri Besar Negeri Sembilan, yang juga calon Pakatan Harapan (PH) DUN Linggi berkenaan berkata demikian mengulas rakaman video yang mengejutkan melibatkan Ketua Penerangan Umno Rembau, Shukri Samsudin.
Menerusi klip tular berdurasi 27 saat itu, pemimpin Umno tersebut berkata, kuasa negeri termasuk institusi istana dan Menteri Besar Negeri Sembilan dikuasai DAP.
“Saya menggesa kepada pihak berkuasa, apabila isu 3R ini, supaya diambil tindakan segera.
“Kita tidak ingin perpecahan yang membuat pertuduhan, hinggakan perkara istana pun dibawa dalam pilihan raya kali ini,” tegas Aminuddin yang mesra dipanggil Tok Min.
Beliau berkata, pihak penguat kuasa perlu bertindak tegas bagi memastikan tidak wujud pihak yang mengapi-apikan sentimen sehingga menjejaskan keharmonian masyarakat di negeri itu.
“Kita tidak ingin melahirkan golongan yang menjadi penghasut kepada perpecahan di Negeri Sembilan ini.
“Saya berharap bahawa pihak penguatkuasa, pihak yang berwajib, ambil tindakan segera,” katanya, dipetik BH.
PRN Negeri Sembilan ke-16 menyaksikan BN semakin terdesak apabila menggunakan sentimen istana dengan mengaitkan DAP dalam kempen politiknya.
BN dilihat hanya mampu menakut-nakutkan pengundi selepas gabungan berkenaan dilihat ketandusan modal untuk menyerang pentadbiran negeri yang diterajui PH sejak 2018.
Terdapat seramai 889,490 orang pemilih yang terdiri daripada 867,151 orang pengundi biasa, 16,884 orang tentera serta pasangan dan 5,455 orang polis.
BACA JUGA Mengejutkan! Umno dakwa Istana Negeri Sembilan dikawal DAP