Manifesto pendidikan PH: Dari bayi hingga graduan, Tok Min janji bantuan berterusan

Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan menjadikan pendidikan sebagai antara teras utama manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini dengan menawarkan rangkaian bantuan menyeluruh kepada anak negeri, bermula seawal kelahiran sehingga ke peringkat pengajian tinggi.

Menteri Besar, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun berkata, pendidikan merupakan asas kepada pembangunan modal insan dan kerajaan negeri mahu memastikan tiada anak Negeri Sembilan tercicir daripada mendapat peluang melanjutkan pelajaran hanya kerana kekangan kewangan.

Menurut beliau, manifesto “Kekal Harapan” dirangka bagi mengurangkan beban keluarga selain membantu pelajar memberi tumpuan sepenuhnya kepada pembelajaran.

“Pendidikan adalah teras kepada pembangunan insan. Anak-anak kita harus diberikan peluang untuk terus belajar supaya boleh membesar menjadi insan yang akan berkhidmat untuk pembangunan industri yang berkembang di Negeri Sembilan.

“Manifesto Kekal Harapan menyediakan bantuan kepada anak-anak dari lahir hingga ke menara gading sebagai langkah mengurangkan beban supaya mereka dapat fokus kepada pembelajaran,” katanya.

Antara pengumuman utama ialah peningkatan caruman Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) untuk bayi baru lahir daripada RM100 kepada RM200.

Bantuan Anak Sekolah (BAS) pula dinaikkan daripada RM550 kepada RM770, manakala bantuan kepada pelajar Sekolah Berasrama Penuh ditingkatkan daripada RM300 kepada RM500 bagi isi rumah berpendapatan bawah RM8,000.

Selain itu, kerajaan negeri turut memperkenalkan insentif baharu sebanyak RM1,000 kepada pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM (Straight A+) dan STPM (PNGK 4.00).

Sokongan hingga ke universiti

Bagi pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), manifesto itu turut menawarkan pelbagai bantuan mengikut peringkat pengajian.

Antaranya bantuan RM500 kepada pelajar sijil dan matrikulasi, RM750 untuk pelajar diploma, RM1,000 bagi diploma STEM, RM1,200 kepada pelajar ijazah sarjana muda dan RM1,500 untuk pelajar ijazah dalam bidang STEM.

Bantuan Sara Hidup IPTA sebanyak RM2,400 setahun turut diteruskan melalui bayaran RM200 sebulan kepada pelajar yang layak.

Pada masa sama, kerajaan negeri berjanji meneruskan pemberian komputer riba secara percuma kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan bawah RM8,000.

Menurut Aminuddin, bantuan itu penting bagi memastikan pelajar tidak ketinggalan dalam pembelajaran digital hanya kerana kekurangan kemudahan.

“Selain insentif secara tunai, Manifesto Kekal Harapan juga membantu dengan menyediakan komputer riba kepada anak-anak yang memerlukan supaya mereka tidak ketinggalan atas sebab kekurangan dana,” katanya.

Ganjaran kecemerlangan diteruskan

Manifesto itu turut mengekalkan insentif RM5,000 kepada graduan kelas pertama sebagai galakan untuk anak Negeri Sembilan terus mengejar kecemerlangan akademik.

Aminuddin berkata, ganjaran tersebut bukan sekadar penghargaan kepada pelajar cemerlang, malah menjadi dorongan untuk lebih ramai anak muda mencapai prestasi terbaik.

Beliau berkata, keseluruhan pakej pendidikan itu mencerminkan komitmen PH membina ekosistem pembelajaran yang menyokong anak-anak Negeri Sembilan sepanjang perjalanan pendidikan mereka.

“Inilah janji Pakatan Harapan untuk terus mendokong aspirasi anak-anak Negeri Sembilan agar mampu bersaing di persada antarabangsa. Undi Pakatan Harapan untuk memastikan masa depan anak-anak kita lebih cerah,” katanya.

BACA JUGA Dituduh dikawal DAP, Istana Negeri Sembilan tampil nafi dakwaan Umno