Penggali kubur pun tidak dilupa, anak muda kenal Tok Min kerana masjid dan surau
Pemerhati politik, Ahmad Faizuddin mengingatkan bahawa pentadbiran Datuk Seri Aminuddin Harun yang mesra dipanggil Tok Min menghargai rakyat biasa sehingga golongan penggali kubur turut menerima manfaat.
Beliau berpendapat, pemberian insentif RM1,000 kepada penggali kubur merupakan bukti mudah difahami tentang keprihatinan pentadbiran Aminuddin.
Sehubungan itu, Ahmad berkata, sifat cakna Tok Min itu wajar diuar-uarkan Pakatan Harapan (PH) ketika Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) memilih jalan mudah menakut-nakutkan pengundi dengan isu kaum dan momokan DAP.
“Mereka sentuh emosi ketakutan. Takut Melayu akan hilang hak, DAP jahat. Takut Islam tergadai, DAP jahat. Cukup begitu sahaja. Termakan satu negeri,” katanya.
Ahmad mengimbas kembali kisah kegembiraan kira-kira 900 penggali kubur di Negeri Sembilan yang menerima insentif bayaran sekali sebanyak RM1,000 daripada kerajaan diterajui PH pada 2023.

Menurutnya, kisah berkenaan boleh dirumuskan melalui mesej yang jauh lebih mudah dan kuat:
“Penggali kubur, Melayu-Islam, gembira diraikan. Tidak pernah mendapat insentif sebesar ini sejak 15 tahun lalu. Mereka menganggapnya sebagai peristiwa bersejarah.”
Katanya, bantuan tersebut membuktikan pentadbiran Tok Min bukan sahaja memberi perhatian kepada projek besar atau golongan tertentu, malah memikirkan kebajikan pekerja yang jarang mendapat pengiktirafan masyarakat.
Anak muda kenal Tok Min kerana masjid dan surau
Dalam masa sama, Ahmad turut berkongsi pengalamannya menghadiri program bersama kira-kira 200 anak muda di Linggi.
Ketika ditanya siapakah Menteri Besar Negeri Sembilan, peserta secara beramai-ramai menjawab nama Aminuddin Harun.
Beliau kemudiannya memilih seorang peserta secara rawak dan bertanya mengenai jasa terbesar Tok Min.
Jawapan yang diterima mengejutkannya apabila anak muda tersebut mengatakan Aminuddin banyak membina masjid dan surau sepanjang mengetuai pentadbiran negeri.
Pembangunan masjid serta pemberian elaun dan insentif kepada petugas agama sebelum ini turut disebut sebagai antara bukti pentadbiran Aminuddin memberikan perhatian terhadap syiar Islam.
“Jawapan spontan anak muda yang saya tidak kenal itu membuatkan saya terkedu seketika.
“Alhamdulillah, masih ada yang celik dan tidak termakan kempen perkauman melampau,” katanya.
Ahmad berharap generasi muda semakin terbuka dan kritikal dalam menilai segala maklumat, terutama dakwaan politik yang menggunakan kaum dan agama bagi membangkitkan ketakutan.
Masa masih ada untuk PH
Mengulas peluang PH dalam PRN Negeri Sembilan ke-16 kali ini, Ahmad mengakui laluan gabungan itu bukan mudah, namun menegaskan masa masih ada untuk mengubah sentimen pengundi.
Katanya, kempen pada fasa terakhir perlu memasuki “minda separa sedar” pengundi dengan menunjukkan bahawa pentadbiran yang baik mampu memastikan kemakmuran negeri sampai kepada rakyat di peringkat paling bawah.
“Betapa apabila pentadbiran itu baik, limpahannya boleh sampai kepada golongan seperti penggali kubur.
“Inilah yang rakyat mahu dengar dan rakyat perlu tahu,” katanya.
Tambahnya, rekod Tok Min sebenarnya mempunyai kekuatan emosi yang mampu menandingi politik ketakutan pihak lawan.
Hanya, ujar Ahmad, rekod peduli rakyat kerajaan diterajui PH sejak 2018 itu perlu diceritakan dalam bahasa yang mudah, dekat dan menyentuh kehidupan rakyat.
“Insya-Allah, dengan izin Allah, Tok Min kekal sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.
“Tetapi jika berlaku sebaliknya, jangan kambinghitamkan sesiapa. Cari puncanya dan perbaiki,” katanya lagi.
BACA JUGA Umno ingat boleh jadi nombor satu, rupanya Pas mahu jadi ‘Abang Long’