Ramanan ‘sekolahkan’ MIC, cabar lihat sendiri sambutan program bersama PMX esok
Naib Presiden PKR, Datuk Seri R Ramanan, berkata dakwaan parti komponen Barisan Nasional (BN) iaitu MIC bahawa pengundi India lebih cenderung menyokong BN, perlu dilihat berdasarkan sambutan sebenar masyarakat terhadap program yang dianjurkan.
“Semua orang boleh membuat dakwaan tetapi apabila kita lihat sambutan daripada program yang mereka buat tidak menunjukkan begitu.
“Kalau kita nak tahu sama ada komuniti India sokong atau tidak, mereka suka atau tidak, kita boleh lihat daripada program yang kita buat,” dipetik Bernama.
Ramanan berkata, esok akan diadakan satu sesi pertemuan antara komuniti India bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sehubungan itu, beliau yang juga Menteri Sumber Manusia berkata, pertemuan itu adalah peluang untuk semua pihak melihat sendiri penerimaan serta sokongan masyarakat terhadap kepimpinan kerajaan MADANI.
Sementara itu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menegaskan bahawa rekod pelaburan kerajaan Negeri Sembilan diterajui PH ketika ini jauh mengatasi sasaran dijanjikan dalam manifesto BN.
Dalam program ramah mesra bersama masyarakat India di Pekan Air Kuning, Port Dickson pada 26 Julai lepas, Tok Min berkata, Negeri Sembilan merekodkan jumlah pelaburan mencecah RM32.1 bilion dalam tempoh 18 bulan iaitu RM19.1 bilion pada 2025 dan RM13 bilion dalam tempoh separuh pertama tahun ini.
Pencapaian itu, jelas calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi berkenaan, mengatasi sasaran pelaburan RM30 bilion dalam tempoh lima tahun diumumkan BN.
Pada PRN Negeri Sembilan kali ini, PH bertanding di semua 36 kerusi DUN iaitu 16 calon dari PKR, 11 mewakili DAP dan sembilan calon Parti Amanah Negara (AMANAH).
Tawaran manifesto PH mengandungi 10 komitmen utama dalam menjadikan Negeri Sembilan negeri termaju yang inklusif.
Terdapat 889,490 orang pengundi berdaftar dalam PRK Negeri Sembilan ke-16 dengan kira-kira 132,500 atau 14.9 peratus merupakan pengundi India.
BACA JUGA Penggali kubur pun tidak dilupa, anak muda kenal Tok Min kerana masjid dan surau