Terkejut banyak bendera PH dicampak dalam parit, penduduk turun kutip dan pacak kembali
Seorang penduduk kampung di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nilai terkejut apabila mendapati sejumlah bendera Pakatan Harapan (PH) yang dipasang kemas di tepi jalan ditemui tercampak dalam parit.
Hanya mahu dikenali sebagai Saad Hamid, 55, beliau berkata, deretan bendera PH kira-kira 50 meter itu mulanya terpacak dan berkibar dengan baik sebelum ini tetapi ditemui berada di dalam parit keesokan harinya.
“Kenapa ada sikap sebegini? Bendera itu tidak bersalah. Elok sahaja bendera itu terpacak dan berkibar, tetapi pagi ini tengok sudah dicabut dan dicampak ke dalam parit,” katanya kesal menerusi satu hantaran di media sosial.

Menurut Saad, bendera itu sebenarnya telah diikat dengan kuat, menyebabkan beliau hairan bagaimana ia boleh dicabut dalam jumlah yang banyak.
Tidak tergamak membiarkan bendera PH itu terus terendam, Saad bersama seorang kanak-kanak nekad turun ke kawasan dalam parit.
Mereka mengutip satu demi satu bendera tersebut sebelum memasangnya semula di lokasi asal di tepi jalan utama Taman Andalas, Kampung Mantin Dalam itu.
“Tidak mengapa, saya dengan anak kecil pungut bendera itu dan pacakkan kembali.
“Bimbang pula parit itu tersumbat,” katanya lagi.
Kembali berkibar
Beliau turut mengongsikan gambar bendera-bendera PH yang berjaya diselamatkan dan kembali berkibar selepas dipasang semula.
Dalam pada itu, Saad mengingatkan seluruh rakyat Negeri Sembilan supaya menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada 1 Ogos dengan penuh beradab, berhemah dan menghormati pilihan politik masing-masing.
“Undilah secara beradab, berhemah dan bersopan. Jangan keruhkan keadaan. Doakan yang baik-baik dan hormati calon pilihan mereka.
“Adat bertanding, pasti ada yang menang dan kalah.
“Alhamdulillah, semua bendera kembali berkibar setelah dipacakkan semula ke tempat asal.
“Berkibarlah sehingga 1 Ogos,” kata Saad menerusi hantaran di Facebook beliau.
Menjengah ke ruangan komentar, rata-rata menyifatkan perbuatan mencabut dan membuang bahan kempen sebagai tindakan tidak matang serta bertentangan dengan semangat demokrasi.
Mereka turut memuji tindakan Saad dan kanak-kanak berkenaan mengutip dan memacakkan kembali bendera PH itu sekaligus mengelakkan kawasan perparitan berkenaan tersumbat.
DUN N10 Nilai menyaksikan pertembungan lima penjuru dengan calon PH, J. Arul Kumar mempertahankan kerusi disandang beliau sejak 2013.
Arul Kumar bersaing dengan calon BN-MCA, Lai Chien Kong; Datuk V. Saravana Kumar Veerasamy (Bersatu), Zamani Ibrahim (Berjasa) dan calon Bebas, Omar Mohamad Isa.
Pada PRN 2023, Arul yang juga Naib Pengerusi DAP Kebangsaan menang bergaya dengan majoriti lebih 10,900 undi.
BACA JUGA SARA masuk pasar tani?