Bekas Adun Umno dedah jasa PMX di Sungai Lui, akui rekod Anwar
Seorang bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Lui selama tiga penggal daripada Umno-Barisan Nasional (BN), Datuk Anuar Rashidin, tampil berkongsi pengalaman peribadinya dengan mendedahkan jasa Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap pembangunan kawasan itu ketika pemimpin berkenaan masih berada dalam kerajaan.
Anuar berkata, beliau pernah menjadi penyokong kuat Umno dan mewakili BN sebagai wakil rakyat Sungai Lui, beliau turut berkongsi cerita pengalamannya berurusan dengan Anwar sewaktu menjadi timbalan perdana menteri suatu ketika dahulu.
Menurut beliau, ketika Anwar memegang jawatan Menteri Kewangan, pemimpin itu telah membantu meluluskan pembinaan asrama bagi sebuah sekolah di Sungai Lui, sekali gus meningkatkan taraf sekolah berkenaan.
“Saya pernah membawa Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Sungai Lui pada tahun 1994. Selepas lawatan itu, sekolah di sini mendapat kemudahan asrama dan taraf sekolah turut dinaikkan. Itu jasa yang saya sendiri saksikan,” katanya dalam satu klip video.
Anuar berkata, sebelum ini beliau juga pernah mengkritik Anwar, namun pandangannya berubah selepas meneliti rekod perjuangan Presiden PKR itu sejak zaman mahasiswa.
“Dulu saya juga mengkritik Anwar. Tetapi apabila melihat perjuangannya sejak di Universiti Malaya dan kesungguhannya membela rakyat, saya mula melihat beliau dari sudut yang berbeza,” katanya.
Bekas wakil rakyat itu turut mengakui isu 1MDB menjadi antara faktor yang menghakis keyakinannya terhadap kepimpinan Umno ketika itu.
“Pada mulanya saya tidak percaya isu 1MDB. Tetapi selepas melihat bukti-bukti yang muncul, keyakinan saya terhadap kepimpinan Umno semakin hilang. Apa yang dinafikan akhirnya terbukti apabila mereka yang terlibat didakwa dan dipenjarakan,” katanya.
Dalam video itu, Anuar turut mempertikaikan dakwaan bahawa DAP menguasai kerajaan, sambil menggesa rakyat menilai pemimpin berdasarkan rekod perkhidmatan dan hasil kerja, bukannya retorik politik.
“Rakyat perlu melihat siapa yang benar-benar bekerja untuk mereka. Saya sendiri menyaksikan jasa Datuk Seri Anwar kepada Sungai Lui dan rakyat di kawasan ini,” katanya.
BACA JUGA Penggali kubur pun tidak dilupa, anak muda kenal Tok Min kerana masjid dan surau