“Kalau sayang Negeri Sembilan, jangan balik bercuti… baliklah mengundi”- Tok Min

Menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Sabtu ini, rayuan khas dibuat kepada puluhan ribu anak perantauan agar pulang menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi kerana undi mereka dilihat mampu menentukan pembentukan kerajaan negeri yang mendapat mandat majoriti rakyat.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, sokongan daripada anak perantauan amat penting memandangkan ramai pengundi berdaftar di negeri itu kini menetap di luar atas urusan pekerjaan, pengajian atau baru pertama kali layak mengundi.

“Kita juga mohon kepada ibu bapa yang tinggal di Negeri Sembilan supaya dapat mengingatkan anak-anak masing-masing atau ahli keluarga mereka yang lain supaya pulang mengundi dan melaksanakan proses demokrasi pada 1 Ogos ini,” katanya memetik laporan Malaysia Gazette.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri majlis tahlil dan doa selamat sempena kempen PRN di Pasir Panjang, Linggi, semalam.

Menurut Aminuddin, beberapa kawasan di Negeri Sembilan mempunyai peratusan tinggi pengundi yang berada di luar negeri, sekali gus menjadikan kehadiran mereka pada hari pengundian sebagai faktor penting.

Katanya, daerah Kuala Pilah, Jelebu dan Tampin merupakan antara kawasan yang mempunyai ramai anak perantauan, manakala di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Menanti, Senaling dan Juasseh, dianggarkan sekitar 20 hingga 30 peratus pengundinya terdiri daripada anak rantau.

Beliau yang juga calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Linggi berkata, setiap undi penting bagi memastikan kerajaan negeri yang dibentuk benar-benar mencerminkan pilihan majoriti rakyat.

Pada PRN Negeri Sembilan 2023, Suruhanjaya Pilihan Raya merekodkan kadar keluar mengundi sebanyak 68.35 peratus daripada keseluruhan 862,425 pengundi berdaftar.

PRN Negeri Sembilan kali ini menyaksikan persaingan sengit di beberapa kerusi, sekali gus menjadikan kadar keluar mengundi, khususnya dalam kalangan anak perantauan, antara faktor yang dijangka memberi kesan kepada keputusan pilihan raya.

BACA JUGA ANALISIS | Umno kata ada jalan keluar, tetapi rakyat juga yang diheret ke pilihan raya