Teknologi hebat tak bermakna jika orang miskin tercicir – Anwar

Peralihan kepada tenaga hijau tidak boleh dianggap berjaya sekiranya hanya membawa kemajuan teknologi, tetapi pada masa sama menyebabkan golongan miskin dan terpinggir terus ketinggalan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, agenda peralihan tenaga perlu meletakkan rakyat sebagai keutamaan, bukan semata-mata mengejar sasaran teknologi atau pelaburan.

Menurutnya, kejayaan sebenar peralihan tenaga bukan diukur melalui jumlah ladang solar atau kapasiti tenaga boleh diperbaharui, tetapi sejauh mana manfaatnya dapat dinikmati secara adil oleh seluruh lapisan masyarakat.

“Peralihan yang cemerlang dari segi teknologi tetapi memusnahkan dari segi sosial bukanlah peralihan; ia adalah ketidakadilan.

“Pada akhirnya, peralihan dan integrasi tenaga adalah tentang manusia.

“Oleh itu, kita tidak boleh terlalu menekankan betapa pentingnya untuk mengutamakan golongan miskin dan terpinggir dalam usaha besar ini. Jika tidak, kita hanya akan terus mengekalkan ketidaksamarataan sosial yang parah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan GBA-ASEAN Mengenai Peralihan dan Integrasi Tenaga di Sunway Resort Hotel, hari ini.

Anwar berkata, dunia kini sedang berdepan pelbagai krisis serentak termasuk konflik geopolitik, gangguan rantaian bekalan tenaga dan ketidaktentuan ekonomi yang memerlukan pendekatan baharu dalam menjamin keselamatan tenaga.

Katanya, peralihan kepada tenaga bersih bukan lagi sekadar agenda alam sekitar, malah kini menjadi tuntutan keselamatan negara serta pemacu daya saing ekonomi.

Dalam masa sama, beliau mengakui transformasi itu memerlukan pelaburan yang sangat besar bagi membina infrastruktur seperti ladang solar, sistem penyimpanan bateri, grid elektrik moden serta latihan tenaga kerja.

“Kerajaan tidak mampu memikul beban ini secara bersendirian.

“Untuk mencapai peralihan tenaga pada skala besar, kita memerlukan kerjasama yang belum pernah berlaku sebelum ini antara sektor awam, pelabur swasta dan pemaju projek,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa ASEAN perlu memperkukuh kerjasama serantau dalam agenda tenaga bersih supaya rantau ini lebih bersedia menghadapi ketidaktentuan global.

Menurutnya, Malaysia akan terus memainkan peranan aktif dalam menjayakan peralihan dan integrasi tenaga, namun menegaskan pembangunan yang mampan tidak boleh dicapai jika manfaatnya hanya dinikmati oleh segelintir pihak.

“Keputusan yang kita buat dalam tahun-tahun kritikal ini akan bergema selama beberapa dekad.

“Marilah kita dikenang sebagai arkitek zaman keemasan hijau, suatu era apabila ekonomi berkembang, alam sekitar dipulihkan, dan masyarakat kita menjadi lebih berbelas ihsan, adil serta bersatu,” katanya.

BACA JUGA ‘Cium mulut’ tapi dua manifesto, Muhyiddin soal BN-PN nak guna yang mana?