Syed Saddiq tegur BN seolah rai kerugian Tabung Haji

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegur tindakan Barisan Nasional (BN) yang dilihat memandang ringan kerugian berbilion ringgit membabitkan Lembaga Tabung Haji (TH), dan seolah-olah meraikan kesilapan yang dibuat ahli politik mereka sendiri.

Beliau berkata, sikap mempertahankan pemberian hibah tinggi dan subsidi haji tanpa mengakui masalah kewangan sebenar TH adalah membimbangkan.

Ini kerana katanya, Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) jelas menunjukkan wujud kerugian berbilion ringgit dalam TH akibat keputusan pelaburan yang dibuat oleh pihak yang tidak mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam bidang tersebut.

“Cuma ini teguran dan nasihat saya lah kepada sahabat-sahabat dari BN. Khususnya bila saya baca di media sosial ini, saya sangat risau bila saya lihat sahabat-sahabat BN seperti meraikan apa yang berlaku. Bukan meraikan laporan RCI. Dia meraikan kesilapan yang lepas,” katanya dalam sesi podcast Ulasan RCI Tabung Haji malam tadi.

Syed Saddiq berkata, BN sepatutnya mengakui masalah yang berlaku dan mengambil tanggungjawab terhadap kelemahan terdahulu, bukannya cuba menggambarkan keadaan seolah-olah tiada isu besar.

“Janganlah kata macam tak ada masalah atau masalah itu tak ada kena mengena dengan kerugian berbilion ringgit. Atau kata ini hanya tentang kerajaan nak tolong pakcik makcik yang ada akaun TH. 

“Tindakan korang ini macam hilangkan masalah berbilion ringgit, dan rugi, rugi, rugi ini (dengan naratif seperti itu)….,” katanya.

Beliau berkata, kerugian yang berlaku tidak boleh dianggap selesai hanya kerana hibah diumumkan, kerana kos sebenar akhirnya perlu ditanggung melalui langkah pemulihan yang melibatkan campur tangan kerajaan.

Menurut beliau, jika BN berterusan membawa naratif bahawa keputusan mereka dahulu adalah sesuatu yang baik, ia akan memberi contoh buruk kepada pemimpin politik masa depan untuk mengulangi kesilapan sama.

“Kerugian berbilion ringgit ini tidak hilang. Bila rugi, siapa yang tanggung? Pembayar cukai, rakyat Malaysia, dan generasi akan datang.

“Janganlah kata keputusan yang menyebabkan kerugian berbilion ringgit yang perlu dipikul generasi baru itu adalah keputusan yang baik. Come on we have to be fair and transparent. Jangan meraikan benda tidak betul kerana jika kita meraikan, apa mesej yang kita sedang hantar kepada pemimpin muda akan datang?,” soalnya.

BACA JUGA “Saya takut dan risau dengar hujah ini” – Syed Saddiq tempelak naratif hibah TH tinggi bukan masalah