Ibu hamil 7 bulan, anak melecur 60 peratus: Konvoi RXZ bertukar tragedi

Perjalanan seorang wanita hamil tujuh bulan bersama anak lelakinya ke pasar bertukar tragedi apabila mereka terbabit dalam kemalangan melibatkan seorang peserta RXZ Members 8.0, menyebabkan motosikal dinaiki terbakar dan anak mangsa melecur lebih 60 peratus.

Kejadian berlaku di Persimpangan Buluh Gading di sini, antara jam 11.40 hingga 11.50 pagi semalam ketika Syafirah Salim, 36, bersama anaknya, Ahmad Asyraf Talhah, 13, dalam perjalanan ke Pasar Batu Enam.

Menurut laporan Sinar Harian, kedua-dua mangsa dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu untuk menerima rawatan.

Bapa mangsa, Talhah Mahmud, berkata cucunya mengalami kesan melecur kira-kira 60 peratus dari paras pinggang hingga ke bawah, manakala anak perempuannya yang sedang hamil turut menerima rawatan.

Beliau berharap kandungan anak perempuannya tidak terjejas akibat kemalangan tersebut.

Sementara itu, Kosmo! melaporkan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor mengesahkan penunggang Yamaha RXZ yang terbabit ialah seorang peserta program RXZ Members 8.0 berusia 24 tahun dari Jengka, Pahang.

Menurut beliau, motosikal Honda Beat yang dinaiki dua beranak itu terbakar selepas kemalangan, menyebabkan remaja berusia 13 tahun berkenaan mengalami kecederaan melecur yang serius.

Dalam perkembangan sama, Utusan Melayu Plus melaporkan motosikal Honda Beat dinaiki mangsa hangus sepenuhnya, manakala motosikal Yamaha RXZ terbakar kira-kira 80 peratus.

Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku selepas motosikal Yamaha RXZ itu hilang kawalan sebelum berlaku tumpahan minyak yang mencetuskan kebakaran.

Setakat ini, polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dan orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi sehingga siasatan selesai.

BACA JUGA DKU Putuskan: Semua tindakan selepas 31 Mei 2023 diisytihar tidak sah