Jangan biar orang lain tentukan masa depan Negeri Sembilan, keluar mengundi hari ini
Sebanyak 859,760 pengundi berdaftar hari ini memikul tanggungjawab menentukan hala tuju pentadbiran Negeri Sembilan apabila proses pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 bermula pada jam 8 pagi.
Sebanyak 401 pusat mengundi melibatkan 1,668 saluran dibuka serentak di seluruh negeri, membolehkan rakyat memilih wakil rakyat yang bakal membentuk kerajaan negeri bagi penggal akan datang.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengingatkan pengundi supaya membawa Kad Pengenalan serta merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan kesesakan, terutama menjelang waktu tengah hari dan petang.
Proses pengundian dijadualkan berlangsung sehingga 6 petang, melibatkan pusat mengundi di sekolah, dewan, balai raya dan kolej di tujuh daerah iaitu Seremban, Port Dickson, Rembau, Tampin, Kuala Pilah, Jelebu dan Jempol.
SPR menyasarkan 72 hingga 75 peratus daripada keseluruhan pemilih keluar mengundi hari ini, manakala keputusan awal dijangka mula diperoleh sekitar 10 malam sebelum keputusan rasmi penuh diumumkan sebelum tengah malam.
Sebelum ini, proses pengundian awal pada 28 Julai merekodkan kehadiran memberangsangkan apabila 14,995 pengundi awal, bersamaan 91.06 peratus, telah menunaikan tanggungjawab masing-masing, sekali gus melepasi sasaran 90 peratus yang ditetapkan SPR.
Tinjauan di beberapa lokasi pagi ini mendapati cuaca berada dalam keadaan baik dan menggalakkan orang ramai keluar mengundi lebih awal.
Bagaimanapun, berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), kebanyakan kawasan di Negeri Sembilan dijangka mengalami hujan lebat dan ribut petir pada sebelah petang, justeru pengundi disaran tidak menangguhkan perjalanan ke pusat mengundi.
PRN Negeri Sembilan kali ini menyaksikan 103 calon bertanding bagi merebut 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Pakatan Harapan meletakkan calon di semua kerusi, diikuti Barisan Nasional (25 kerusi), Bersatu (24), Perikatan Nasional (11), empat calon Bebas, manakala Berjasa, Parti Orang Asli Malaysia (ASLI) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) masing-masing mempertaruhkan seorang calon.
Pilihan raya bukan sekadar memilih calon, tetapi menentukan dasar, kepimpinan dan masa depan negeri untuk tempoh lima tahun akan datang. Justeru, setiap undi yang dibuang hari ini membawa nilai yang besar dalam menentukan arah tuju Negeri Sembilan.
BACA JUGA Tak pasti nak undi siapa? Semak 10 fakta ini kenapa Nismilan elok dah, kito kekalkan HARAPAN