Malaysia-Brunei duduk semeja, subsidi bersasar antara agenda utama
Malaysia dan Brunei terus memperkukuh kerjasama ekonomi serta kewangan menerusi pertemuan dua hala antara Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan rakan sejawatnya dari Brunei Darussalam, Datuk Seri Setia Dr Awang Haji Mohd Amin Liew Abdullah, semalam.
Pertemuan yang berlangsung di Putrajaya itu memberi tumpuan kepada usaha memperluaskan kerjasama strategik kedua-dua negara, khususnya dalam memperkukuh hubungan ekonomi serantau dan agenda pembangunan mampan.
Antara perkara yang dibincangkan ialah kepentingan meningkatkan kesalinghubungan ASEAN, termasuk menerusi kerjasama tenaga rentas sempadan, pembangunan tenaga boleh diperbaharui, pemodenan sistem kastam serta pemudahcaraan perdagangan dan pelaburan.
Kedua-dua menteri turut berkongsi pengalaman masing-masing dalam melaksanakan reformasi fiskal, termasuk pelaksanaan subsidi bersasar, penggunaan data bagi memperkukuh penggubalan dasar serta usaha mempertingkat disiplin fiskal demi menjamin kemampanan ekonomi dalam jangka panjang.
Menurut Kementerian Kewangan, pertemuan itu mencerminkan hubungan erat yang telah lama terjalin antara Malaysia dan Brunei Darussalam, selain komitmen bersama untuk memajukan keutamaan serantau, khususnya dalam kerangka kerjasama ASEAN.
Kerjasama yang diperkukuh itu dilihat berpotensi membuka lebih banyak peluang dalam sektor perdagangan, pelaburan dan tenaga, sekali gus menyokong agenda pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan bagi kedua-dua negara.
BACA JUGA Baru sejam mengundi, lebih 71,000 rakyat Negeri Sembilan sudah keluar buat pilihan