Pas cipta ketakutan, Umno tumpang sentimen membenci DAP
Pemerhati politik, Norman Radzuan berpendapat kekuatan sebenar pihak lawan bukan terletak pada Umno semata-mata, sebaliknya pada kemampuan Pas membentuk ketakutan dalam kalangan masyarakat Melayu terhadap DAP.
Tegasnya, Pas berjaya menggambarkan persaingan politik menentang DAP seolah-olah satu perjuangan mempertahankan agama dan bangsa daripada ancaman musuh.
Menurutnya, naratif “UMDAP” dan serangan berulang kali terhadap DAP itu akhirnya bukan sahaja melemahkan PH, malah turut menyebabkan Umno kehilangan identiti politiknya sendiri.
Ironinya, kata Norman, Umno sebelum ini menghabiskan lebih tiga tahun mempertahankan kerjasama dengan DAP berdasarkan pengalaman bersama dalam Kerajaan Perpaduan.
Namun, selepas kembali bekerjasama dengan Pas menjelang PRN Negeri Sembilan, Umno menyambung semula retorik lama dengan menjadikan DAP sebagai sasaran utama bagi mendapatkan undi Melayu.
“Baru sebulan bersama Pas, Umno cuma menyambung wirid yang sama — DAP, DAP, DAP.
“Umno terus mendapat undi Melayu walaupun Umno sendiri mengetahui bahawa DAP bukanlah seperti gambaran yang dicipta itu,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Prestasi ekonomi tenggelam
Norman turut berpendapat BN dan PN tidak menyerang pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dari sudut pengurusan ekonomi kerana menyedari Kerajaan MADANI berjaya membawa Malaysia keluar daripada keadaan ekonomi yang sukar.
Bagaimanapun, pencapaian tersebut belum berjaya diterjemahkan menjadi sokongan pilihan raya kerana pertimbangan berasaskan prestasi semakin tenggelam di sebalik permainan sentimen kaum.
“PH bukan tewas kerana gagal menguruskan ekonomi negara. Kita mendapat pujian daripada pemimpin dunia dan mempunyai seorang Perdana Menteri yang tidak korup serta berjaya memimpin negara dengan baik.
“Tetapi kita perlu menerima hakikat bahawa prestasi tidak semestinya menjamin kemenangan apabila sentimen perkauman menjadi pilihan,” katanya.
Norman menyifatkan politik identiti masih menjadi antara faktor paling berkuasa dalam politik Malaysia, sama seperti kecenderungan pengundi di Sabah dan Sarawak yang mahu parti tempatan menerajui negeri masing-masing.
Beliau berpendapat Pas berjaya membentuk persepsi kononnya masyarakat Cina mahu menguasai negara, walaupun dakwaan itu tidak disokong realiti kedudukan politik dan Perlembagaan negara.
Kurang program perpaduan
Dalam pada itu, Norman turut menegur pendekatan Kerajaan MADANI yang disifatkannya terlalu defensif ketika berhadapan serangan perkauman.
Katanya, sepanjang hampir empat tahun mentadbir, kerajaan belum menggunakan kekuatan kementerian dan agensinya secara menyeluruh bagi melaksanakan program yang benar-benar mampu mengeratkan hubungan antara kaum.
Sebaliknya, pemimpin PH sering terperangkap dalam kitaran menjawab tuduhan lawan dengan mempertahankan DAP.
Walhal, ujarnya, perkara yang perlu dipertahankan ialah hak serta kedudukan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira Melayu, Cina, India, Kadazan, Iban atau kaum lain.
“Kita sendiri yang meletakkan seolah-olah Cina itu DAP.
“Setiap kali pilihan raya, pemimpin Melayu PH mempertahankan DAP, bukannya mempertahankan masyarakat berbilang kaum secara keseluruhannya.
“Kita menggunakan strategi sama, tetapi mengharapkan keputusan yang berbeza. Kita terpedaya dengan provokasi tentera siber lawan dan sibuk membalasnya,” kata Norman lagi.
BACA JUGA Politik kaum kalahkan prestasi, keputusan PRN Negeri Sembilan amaran bahaya kepada negara