PH menang dengan ekonomi, ini senjata sebenar tawan rakyat

Pakatan Harapan (PH) perlu berani mengakui bahawa sokongan majoriti pengundi Melayu masih belum memihak kepada gabungan itu, sebaliknya kembali menumpukan kekuatan sebenar mereka dalam mengurus ekonomi dan meningkatkan taraf hidup rakyat.

Pemerhati politik, Ahmad Firdaus Mohd berkata, PH tidak harus menghabiskan terlalu banyak tenaga bersaing dalam gelanggang politik identiti dan sentimen perkauman yang selama ini lebih memihak kepada lawan.

Sebaliknya, beliau menegaskan bahawa kekuatan utama PH terletak pada keupayaan menawarkan penyelesaian ekonomi yang lebih meyakinkan, berasaskan angka, data dan dasar jangka panjang.

“PH perlu akui hakikat orang Melayu tak sokong kita kecuali PH 1.0 Tun, majoriti pengundi Melayu tidak pernah undi PH.

“Jadi, jangan habiskan tenaga berebut di gelanggang kita memang kalah. Kembali kepada kekuatan kita — ekonomi, ekonomi, ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Ahmad Firdaus, Malaysia masih bergelut untuk keluar daripada perangkap pendapatan sederhana sejak krisis kewangan Asia pada 1997.

Walhal, ujarnya, beberapa negara yang pernah berada pada kedudukan setara seperti Korea Selatan dan Taiwan sudah jauh meninggalkan negara ini.

Beliau berkata, antara masalah utama yang membelenggu Malaysia ialah kedudukan kewangan kerajaan yang berdepan defisit berpanjangan, apabila perbelanjaan saban tahun melebihi pendapatan negara.

Sebahagian besar peruntukan kerajaan pula katanya digunakan untuk emolumen, pencen dan subsidi, sekali gus mengehadkan ruang fiskal bagi pembangunan serta pelaburan baharu.

Ahmad Firdaus berkata, setiap Perdana Menteri telah cuba menangani masalah tersebut melalui pendekatan masing-masing.

Menurutnya, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memilih untuk meningkatkan kutipan cukai termasuk memperkenalkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), manakala Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil pendekatan berbeza menerusi kerangka Ekonomi MADANI.

“Ramai tak faham. Tetapi angka dan data semakin membuktikan ia berhasil,” katanya.

Beliau menjelaskan, Ekonomi MADANI membawa dua matlamat utama, iaitu memperbesar “kek ekonomi” negara serta meningkatkan “lantai” pendapatan rakyat.

Peningkatan gaji

Bagi matlamat pertama, jelasnya, kerajaan memberi tumpuan kepada kemasukan pelaburan langsung asing, pembangunan industri bernilai tinggi dan pengukuhan sektor strategik seperti industri semikonduktor.

Pada masa sama, matlamat kedua menekankan peningkatan gaji rakyat supaya pertumbuhan ekonomi tidak hanya memberi keuntungan kepada syarikat atau pemilik modal, tetapi turut dirasai oleh pekerja.

“Gaji rakyat mesti meningkat. Ini mungkin perit untuk sebahagian majikan, tetapi ia perlu jika Malaysia mahu keluar daripada perangkap negara berpendapatan sederhana,” katanya.

Ahmad Firdaus berkata, pendekatan memperbesar kapasiti ekonomi negara dan pada masa sama meningkatkan pendapatan rakyat turut selari dengan kerangka “Raising the Ceiling, Raising the Floor” yang diketengahkan Bank Dunia.

Beliau turut merujuk beberapa perkembangan positif termasuk peningkatan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), semakan menaik unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar oleh institusi kewangan antarabangsa serta pandangan pakar bahawa prestasi ekonomi negara melebihi jangkaan.

Katanya, perkembangan tersebut menunjukkan dasar Ekonomi MADANI mula memberikan hasil walaupun pentadbiran Anwar masih belum melengkapkan satu penggal penuh.

Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa masih ramai rakyat belum benar-benar merasai kesan pemulihan ekonomi tersebut, terutama ketika ekonomi dunia terus berdepan tekanan akibat konflik geopolitik dan ketidaktentuan global.

Namun, kata Firdaus, keadaan itu tidak seharusnya menyebabkan PH meninggalkan naratif ekonomi yang merupakan kekuatan utama gabungan berkenaan.

Sebaliknya, pemimpin dan jentera PH perlu terus menerangkan kepada rakyat bahawa reformasi ekonomi memerlukan masa, keberanian politik dan dasar yang mampu memperkukuh kewangan negara tanpa mengabaikan kebajikan rakyat.

“Inilah kekuatan Pakatan Harapan. Ulang sampai penat — nak ekonomi Malaysia maju, pilih Harapan,” katanya lagi.

BACA JUGA Gelombang takutkan Melayu takkan bertahan, Presiden AMANAH yakin rakyat kembali nilai prestasi dan integriti