DAP dah disingkir, Tok Min pun jatuh, BN-PN masih mahu lawan pilihan Yamtuan?
Pemerhati politik, Liyana Marzuki menyelar tindakan sesetengah pihak dalam blok Barisan Nasional-Perikatan Nasional (BN-PN) yang masih terus berpolitik dan bercakaran selepas matlamat menumbangkan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) di Negeri Sembilan berjaya dicapai.
Beliau mempersoalkan pihak yang masih tidak berpuas hati dengan pelantikan Menteri Besar baharu meskipun keputusan berkenaan dibuat oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berdasarkan pertimbangan serta kebijaksanaan baginda.
Menurut Liyana, Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sudah berakhir dan semua pihak sepatutnya menghentikan percaturan politik bagi membolehkan kerajaan baharu memberikan tumpuan kepada tugas mentadbir negeri.
“Masalah dengan politik Malaysia, kita berpolitik 24 jam sehari dan 365 hari setahun.
“Kalau di negara yang demokrasinya matang, selepas pilihan raya parti politik sudah ‘chill’.
“Yang menang mula buat kerja mentadbir dan yang kalah pula mula buat kerja semak dan imbang,” katanya menerusi hantaran di Facebook beliau.
Liyana berkata, rakyat pula harus diberikan ruang untuk menilai setiap tindakan kerajaan dan pembangkang sepanjang tempoh pentadbiran, bukannya terus disajikan dengan perebutan jawatan serta percaturan kuasa yang tidak berkesudahan.
Katanya, keadaan yang berlaku selepas PRN Negeri Sembilan menyerupai peribahasa rumah sudah siap, pahat masih berbunyi apabila pertikaian mengenai pelantikan Menteri Besar terus dimainkan.
“Bila Menteri Besar baharu dilantik Yamtuan mengikut hemat baginda, maknanya ‘politicking’ pun kena berhenti juga. Bagi yang baharu buat kerja,” katanya.
Tidak terburu-buru
Dalam masa sama, Liyana turut menegur penyokong PH supaya tidak terburu-buru memperlekehkan Menteri Besar baharu yang baru sahaja memulakan tugas.
Walaupun mengakui pentadbiran bekas Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun atau Tok Min mempunyai rekod yang baik, beliau berkata, perkara itu tidak harus dijadikan alasan untuk menghina pilihan institusi diraja.
“Sebelah PH pula, janganlah orang itu baru sehari masuk kerja sudah cop Menteri Besar ‘cap ayam’.
“Kita memang iktiraf pemerintahan Tok Min baik, tetapi kurang adil memperlekeh terus pilihan Tuanku untuk Menteri Besar yang baharu,” katanya.
Menurutnya, PH kini perlu memainkan peranan sebagai pembangkang yang berkesan dengan memastikan setiap dasar dan keputusan kerajaan negeri benar-benar memberikan manfaat kepada rakyat.
“Ada baiknya PH jalankan tugas semak dan imbang dalam tempoh lima tahun ini, agar apa sahaja kerajaan buat, rakyat dapat manfaat,” ujarnya.
Percaturan politik
Namun, teguran lebih keras Liyana ditujukan kepada pihak dalam BN-PN yang masih mempertikaikan pelantikan Menteri Besar dan terus mengatur percaturan politik.
Beliau berkata, jika matlamat utama sebelum PRN adalah untuk menyingkirkan DAP daripada pentadbiran Negeri Sembilan, perkara itu sudah pun tercapai.
“Kalau niat hendak buang DAP sudah tercapai. DAP sudah tidak ada dalam kerajaan.
“Yamtuan sudah lantik Menteri Besar dalam kalangan tuan-puan. Orangnya pun berpendidikan dan berpengalaman,” katanya.
Bekas Peguam Kanan Persekutuan di Bahagian Penasihat, Jabatan Peguam Negara (AGC) itu turut menyentuh kenyataan seorang pemimpin yang mengingatkan pihak luar supaya tidak mencampuri adat dalam urusan pelantikan Menteri Besar.

Menurutnya, hujah tersebut kelihatan bercanggah apabila pelantikan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Besar sendiri masih dipertikaikan hanya kerana individu yang dipilih tidak menepati kehendak kelompok tertentu.
“Yang melantik itu Yamtuan, bukan Menteri Besar DAP atau PKR. Menteri Besar daripada parti yang menang. Apa lagi yang tidak puas hati?
“Adakah hanya apabila mengikut selera anda, barulah dikatakan mengikut adat?” soalnya.
Beliau menegaskan bahawa Tok Min sudah tidak lagi menjadi Menteri Besar manakala DAP pula tidak berada dalam kerajaan negeri, namun parti-parti yang membawa imej Melayu dan Islam masih terus bercakaran sesama sendiri.
“MB sudah jatuh, DAP pun sudah tiada dalam kerajaan. Tetapi parti Melayu-Islam kita masih bercakaran,” katanya.
Sehubungan itu, Liyana membangkitkan persoalan mengenai sasaran sebenar percaturan politik yang masih berterusan selepas PH kehilangan pentadbiran negeri.
“Soalan sebenar harus ditanya, dengan PH sudah tiada, sebenarnya siapa lagi yang anda hendak jatuhkan?
“Adakah Yamtuan Negeri Sembilan?” soal bekas peguam itu lagi.
BACA JUGA Tolak politik kacau-bilau, Pemuda AMANAH Pahang ikrar pertahan kerajaan pimpinan Wan Rosdy