Kekal atau keluar kerajaan? Hampir 4,000 perwakilan DAP bakal tentukan 16 Ogos
Teka-teki mengenai kedudukan DAP dalam kerajaan bakal terjawab pada 16 Ogos ini apabila hampir 4,000 perwakilan parti berhimpun untuk membuat keputusan besar yang boleh menentukan hala tuju politik parti itu.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, perkara berkenaan akan dibawa secara rasmi ke Persidangan Kebangsaan DAP menerusi satu usul khusus untuk dibahas dan diputuskan oleh para perwakilan.
“Keputusan itu tidak dibuat oleh Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC)… kita serahkan kepada kebijaksanaan para perwakilan untuk membuat keputusan.
“Sama ada DAP harus kekal dalam kerajaan sampai akhir tempoh ini ataupun sebaliknya,” katanya semasa sidang media selepas menghadiri mesyuarat CEC di malam ini.
Loke yang juga mengumumkan peletakan jawatan beliau sebagai Pengerusi DAP Negeri Sembilan berkata, persidangan tersebut akan menentukan hala tuju masa depan DAP dalam arena politik negara.
Menteri Pengangkutan berkenaan berkata, sebarang keputusan sama ada DAP akan terus kekal dalam kerajaan atau berada di luar pentadbiran perlu dibuat secara kolektif oleh para perwakilan.
“Hala tuju parti mesti diputuskan secara kolektif oleh para perwakilan parti. Kita akan berpandukan keputusan mereka selepas 16 Ogos nanti.
“Ketika itu, barulah lebih jelas sama ada mereka mahu kita kekal dalam kerajaan dan terus berjuang dari dalam, atau berada di luar kerajaan,” kata beliau lagi.
BACA JUGA Anthony Loke lepas jawatan Pengerusi DAP Negeri Sembilan