Lagi kemalangan maut RXZ Members 8.0, penuntut IPTS mangsa keenam

Seorang penuntut wanita sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) maut dalam kemalangan di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran Bukit Besi, ketika dalam perjalanan pulang selepas menghadiri Program RXZ Members 8.0 di Kuala Nerus.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.55 petang semalam, mangsa, Arissa Shazzira Zainudin, 21, yang berasal dari Kuantan, Pahang, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Nik Ab Halim Nik Mat berkata, siasatan awal mendapati motosikal Yamaha Y125ZR yang ditunggang mangsa merempuh bahagian belakang sebuah pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton.

Menurut beliau, ketika kejadian, kenderaan berkenaan berhenti di lorong kecemasan untuk berehat.

“Akibat daripada kejadian itu, mangsa tercampak ke tengah jalan,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

BACA JUGA 18 nyawa melayang setiap hari, Dr Dzulkefly tegur konvoi mega, gesa henti mentaliti ekstrem di jalan raya