Rais Yatim persoal pelantikan MB N. Sembilan, dakwa jasa Jalaludin dilupakan
Pengerusi Parti Wawasan, Rais Yatim mempersoalkan pelantikan Menteri Besar Negeri Sembilan, mendakwa jasa Datuk Seri Jalaluddin Alias tidak diberi pengiktirafan sewajarnya di sebalik sumbangan pemimpin itu kepada negeri tersebut.
Rais menyifatkan, Jalaludin yang sudah bertungkus-lumus berkhidmat, telah diketepikan, sedangkan jasa beliau sepatutnya dihargai.
“Dalam suasana beginilah, maka keciciran kita membalas budi pemimpin-pemimpin yang telah bertungkus-lumus, diketepikan seperti Datuk Seri Jalaluddin Alias yang telah tidak tampak jasanya diiktiraf dalam bentuk budi yang seharusnya diperhitungkan,” katanya dalam satu video malam tadi.
Beliau berkata, pelantikan Menteri Besar kali ini sebagai sesuatu yang “tidak disangka-sangka”.
Rais turut mendakwa adat Negeri Sembilan tidak sepatutnya ditentukan oleh “orang luar”, merujuk kepada dakwaannya bahawa Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi campur tangan dalam proses pemilihan Menteri Besar.
“Jika ini terus berlaku, adat di Negeri Sembilan ini ditentukan oleh orang luar, bukan oleh sanak yang berada di Negeri Sembilan atau termaktub dalam lopaknya yang berpadi dan sawahnya yang telah berhabuan…
“Boleh dikatakan tidak ada ruang seperti duriannya yang berbau baik, tiada padi yang berada di lopaknya yang boleh dituai. Ke manakah adat Negeri Sembilan selepas ini?,” soalnya.
Semalam, ASUN Juasseh, Datuk Ismail Lasim sah mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan ke-12
Istiadat pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan itu berlangsung di Balairung Seri, Istana Besar Seri Menanti, di hadapan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir
BACA JUGA RENCANA | Kalkulator ekonomi sahaja tak cukup, ini sebab politik identiti masih berkuasa