Siapa ADUN didakwa muflis, hilang kelayakan wakil rakyat? Ini respon Amirudin

Kedudukan seorang ADUN Selangor yang dipercayai hilang kelayakan sebagai wakil rakyat susulan dakwaan berdepan tindakan muflis dijangka dimaklumkan DUN Selangor dalam minggu ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perkara itu bagaimanapun tertakluk kepada keputusan Speaker DUN Selangor, Lau Weng San, sebelum sebarang pemakluman dibuat kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Menurut beliau, urusan berkenaan bukan berada di bawah bidang kuasanya, sebaliknya merupakan prerogatif Speaker DUN.

“Itu tertakluk kepada prerogatif speaker, bukan saya punya kedudukan. 

“Tetapi saya rasa, pihak DUN akan menyiapkan nota dan saya ingat maksimum dalam minggu ini kita akan memaklumkan tentang kedudukan ADUN berkenaan,” katanya ketika ditemui pada Perhimpunan Penjawat Awam dan Majlis Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Selangor 2026 hari ini.

Beliau ditanya media mengenai dakwaan seorang ADUN di Selangor hilang kelayakan sebagai seorang wakil rakyat selepas dipercayai diisytiharkan muflis.

Bagaimanapun, sehingga kini belum ada mana-mana pihak mengesahkan identiti ADUN terbabit dan dakwaan muflis yang dikenakan ke atasnya.

BACA JUGA Rais Yatim persoal pelantikan MB N. Sembilan, dakwa jasa Jalaludin dilupakan