Faiz bidas PN, ‘PH kritik naratif perkauman PN-BN, bukan tuduh rakyat’

Setiausaha Agung AMANAH, Faiz Fadzil membidas Ketua Penerangan Pejuang salah satu parti komponen Perikatan Nasional (PN), Rafique Rashid yang didakwa memutar belit kenyataan Pakatan Harapan (PH) berhubung keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Rafique sebelum ini mendakwa PH menuduh rakyat bersifat perkauman selepas memilih gabungan Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN).

Namun, Faiz menegaskan PH tidak pernah menuduh rakyat sebagai perkauman, sebaliknya mengkritik naratif politik berasaskan kaum yang dibawa PN-BN secara luar biasa sepanjang kempen.

“Kenyataan Rafique tersebut adalah tindakan terdesak PN untuk mengalih isu dengan cuba menimbulkan persepsi salah terhadap PH, sedangkan PN sedar naratif perkauman ini dibawa secara luar biasa ketika kempen,” katanya kepada Harapan Daily hari ini.

Dalam perkembangan sama, Faiz menggesa supaya komunikasi melalui media rasmi dipertingkatkan lagi bagi menentang naratif politik identiti dan pemikiran assabiyyah yang dibawa PN-BN selain menambah baik dasar ekonomi yang mesra peniaga dan pengguna.

“PH perlu tingkatkan prestasi pentadbiran dan pengurusan ekonomi berasaskan politik nilai di mana kehidupan rakyat yang sejahtera akan mengubah minda mereka bahawa PH adalah kerajaan yang harus dikekalkan. Gelombang kebangkitan rakyat menolak politik identiti perlu dibina segera,” ujarnya.

BACA JUGA Johor dan Negeri Sembilan baru ‘pemanas badan’, ujian sebenar BN-PN di Pantai Timur