Menang jangan sampai hina tahlil, Pemuda AMANAH tempelak Exco Pemuda Umno

Exco Pemuda AMANAH Nasional, Ustaz Fauzan Rosli mengecam tindakan seorang Exco Pemuda Umno yang didakwa menjadikan amalan tahlil sebagai bahan sindiran terhadap kekalahan lawan politik.

Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai tidak beradab dan melampaui batas persaingan politik kerana melibatkan amalan yang dimuliakan oleh umat Islam.

“Politik mesti mempunyai sempadan. Perbezaan ideologi dan persaingan politik tidak pernah menghalalkan mana-mana pihak mencemarkan amalan yang dimuliakan oleh umat Islam,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Fauzan, walaupun tahlil bukan rukun Islam, ia merupakan amalan yang telah lama menjadi tradisi masyarakat Islam dan dipenuhi dengan doa, zikir serta permohonan keampunan kepada Allah SWT.

Katanya, menjadikan tahlil sebagai bahan jenaka atau sindiran politik bukan sahaja tidak sensitif, malah boleh menghakis rasa hormat masyarakat terhadap syiar Islam.

“Jangan kerana kemenangan yang sementara, kita menjadi angkuh sehingga sanggup menghina sesuatu yang dimuliakan oleh umat Islam,” katanya.

Beliau berkata, Islam mengajar umatnya mendahulukan akhlak dalam setiap perbezaan pandangan, termasuk dalam persaingan politik.

Fauzan turut memetik firman Allah SWT dalam Surah An-Nahl ayat 125 yang menyeru umat Islam berdakwah dengan hikmah dan nasihat yang baik, selain Surah Al-Hujurat ayat 11 yang melarang perbuatan memperolok-olokkan dan menghina orang lain.

Menurutnya, penggunaan unsur agama sebagai bahan sindiran politik bukan sahaja mencerminkan kemerosotan akhlak, malah boleh memberi persepsi negatif terhadap Islam dalam kalangan masyarakat bukan Islam.

“Agama tidak boleh dijadikan modal untuk meraih sorakan politik yang bersifat sementara,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa Exco Pemuda Umno yang dimaksudkan menarik balik kenyataan berkenaan serta memohon maaf secara terbuka kepada umat Islam.

“Marilah kita mengangkat politik yang berteraskan akhlak, bukannya politik yang mengorbankan kesucian agama demi mengejar kemenangan sesaat,” katanya.

 Terdahulu Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia, Wan Muhammad Zuhir Wan Ghazali dalam satu hantaran di Threads menulis hantaran yang berbunyi ‘majlis bacaan tahlil atas pemakaman Anthony Loke di Chennah’.

BACA JUGA Kenapa negara miskin masih gagal? Jomo dedah sisi gelap perdagangan bebasÂ