‘Ada yang panggil saya ceplos kerana sentuh kelemahan projek LRA di Kedah’ – Akmal

Menteri Ekonomi, Akmal Nasir mempertahankan tindakannya membangkitkan kelemahan pengurusan projek Loji Rawatan Air (LRA) di Kedah, sambil menegaskan beliau tidak boleh terus berdiam diri hanya kerana berdepan kritikan dan kecaman.

Beliau berkata, ada pihak melabelnya “ceplos” hanya kerana beliau menyentuh kelemahan pengurusan projek yang menggunakan wang pembayar cukai.

Malah ada juga menasihatkan beliau untuk tidak masuk campur dan fokus sahaja kepada tugasan sebagai Menteri.

Namun Akmal berkata, beliau tidak boleh lagi terima budaya bekerja secara “business as usual”, yang akhirnya hanya akan menyebabkan kelemahan sama terus berulang.

“Saya tahu ada yang tak gembira dengan saya bila kongsikan apa yang berlaku dengan projek LRA di Kedah.

“Ada yang panggil saya ceplos kerana saya sentuh kelemahan pengurusan projek untuk rakyat menggunakan wang pembayar cukai. Ada juga yang kata, ini bukan kerja saya, kerja menteri jaga dasar sajalah.

“Terima kasih atas maklum balas. Tetapi saya mohon maaf sebab kita tak boleh lagi buat kerja secara business as usual,” katanya menerusi Facebook pada Rabu.

Menurut beliau, walaupun negara sudah hampir 70 tahun merdeka dan kerajaan silih berganti, isu kecuaian, kurangnya tanggungjawab serta akauntabiliti masih menyebabkan kerugian wang pembayar cukai.

Beliau berkata, keadaan ini tidak boleh dibiarkan terus berlaku, kerana isu ini bukan sekadar membabitkan dasar kerajaan tetapi juga sikap dan mentaliti dalam pelaksanaan projek.

Akmal berkata, beliau telah mengikuti perkembangan projek LRA di Kedah itu sejak sekian lama merentasi dua kementerian, iaitu ketika berada di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) dan terkini di bawah Kementerian Ekonomi.

Katanya, beberapa teguran telah dibuat, namun beliau tidak melihat usaha penambahbaikan yang memadai.

“Kebetulan projek LRA di Kedah ini saya ikuti begitu lama, merentaskKementerian dari Kementerian PETRA ke Kementerian Ekonomi projek ini mengikut saya. 

“Ada beberapa teguran sudah dibuat tapi saya tak nampak ada effort untuk tambah baik. Saya sudah buat apa yang termampu, tetapi amaran saya tak diendahkan sehinggalah nasi menjadi bubur. Tak apalah, masing-masing dah besar kan,” katanya.

BACA JUGA ANALISIS | Dah 2026, Kedah masih bergelut air: Putrajaya topup RM50 juta selamatkan LRA ‘sangkut’