“Nurul Izzah akhirnya buka mulut: Ini sebab sebenar saya lepaskan jawatan Timbalan Presiden PKR”

Nurul Izzah Anwar mengesahkan beliau melepaskan jawatan sebagai Timbalan Presiden PKR selepas membuat pertimbangan yang panjang, dengan alasan mahu memberi tumpuan kepada pengajian lanjutan dan meneruskan khidmat kepada masyarakat di luar kerangka politik kepartian.

Dalam kenyataan media hari ini, beliau merakamkan penghargaan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta kepimpinan parti kerana menghormati keputusannya.

“Keputusan ini dibuat setelah pertimbangan yang panjang, untuk mengorak langkah baharu dalam meneruskan pengajian lanjutan yang berdiri di atas khidmat dan bakti, serta tidak semestinya terikat dengan dunia politik,” katanya.

Walaupun berundur daripada jawatan nombor dua parti, Nurul Izzah menegaskan beliau akan terus kekal sebagai anggota PKR dan memberikan sokongan kepada perjuangan parti.

“Saya akan terus kekal sebagai anggota PKR, memberikan dukungan kepada perjuangan ke arah Malaysia yang lebih baik,” katanya.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, yang akan memangku tugas Timbalan Presiden, bersama Datuk Seri Amirudin Shari selaku Pengarah Pilihan Raya PKR, mampu menggalas amanah yang diberikan.

“Saya yakin Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail… dan Datuk Seri Amirudin Shari… akan melaksanakan amanah ini dengan penuh kebijaksanaan, hikmah dan ketekunan dalam menggalas harapan rakyat,” katanya.

Nurul Izzah turut merakamkan penghargaan kepada seluruh pimpinan, anggota dan penyokong PKR yang bersama-sama beliau sepanjang perjuangan dalam parti.

Beliau berkata akan kembali bertemu anggota parti pada Kongres Nasional PKR yang dijadual berlangsung pada 14 hingga 15 Ogos 2026.

Terdahulu, Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR memaklumkan menerima permohonan Nurul Izzah untuk melepaskan jawatan Timbalan Presiden dan bersetuju memberikan cuti sementara bermula selepas Kongres Nasional 2026. 

BACA JUGA Ustaz Pas kongsi 3 cara tumbangkan PMX, netizen tempelak label hati busuk