Ustaz Pas kongsi 3 cara tumbangkan PMX, netizen tempelak label hati busuk

Kenyataan seorang pemimpin Pas yang menyenaraikan tiga cara untuk menjatuhkan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengundang kecaman pengguna media sosial yang menyifatkannya sebagai hati busuk dan mengamalkan politik kotor.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Azman Shapawi Abdul Rani berkata, kerajaan pimpinan PMX boleh ditumbangkan melalui undian Belanjawan 2027, usul tidak percaya atau penarikan sokongan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan.

“Undian Bajet 2027 gagal akhir tahun ini.

“Sokongan Ahli Parlimen pada usul tidak percaya kepada PMX.

“Parti-parti yang menyokong Kerajaan Perpaduan tarik diri hingga PMX tidak cukup sokongan. Selamat berjuang,” tulis Pegawai Penyelidik Pentadbiran di Pejabat Menteri Besar Terengganu itu menerusi Facebook.

Hantaran Timbalan Yang Dipertua Pas Kawasan Dungun berkenaan bagaimanapun mengundang kecaman netizen.

Ramai mempersoalkan mengapa usaha menjatuhkan Kerajaan Persekutuan terus dijadikan agenda ketika rakyat mahu pemimpin politik menumpukan kepada kemakmuran ekonomi dan kebajikan rakyat.

Pengguna Facebook, Daffi Pza menyifatkan kenyataan Ustaz Pas itu sebagai tidak mengenang bantuan Kerajaan Persekutuan kepada negeri-negeri yang ditadbir Pas, khususnya Kelantan.

“Hati busuk macam bangkai. PMXlah Perdana Menteri paling banyak membantu negeri Pas, terutama Kelantan.

Buanglah kopiah jika mahu berpolitik kotor, tidak bersyukur,” tegasnya.

Semakin mundur

Mohd Zaidi Surep pula mempersoalkan prestasi pentadbiran Pas sambil menyindir kemungkinan pemerintahan negara akan semakin mundur jika diserahkan kepada parti berkenaan.

Bagi Liena Abdullah, golongan belia diingatkan agar berpendidikan supaya tidak terpengaruh dengan politik hasutan yang dikhuatiri boleh merosakkan kestabilan ekonomi Malaysia.

Sementara itu, Kamaruddin Ngah mengimbas pendirian Anwar ketika pembangkang mempunyai peluang menggagalkan belanjawan semasa pandemik Covid-19, namun tetap menyokongnya bagi mengelakkan rakyat menjadi mangsa kemelut politik.

“Ingat bajet masa PKP dahulu, PH ada peluang untuk menggagalkannya, tetapi DSAI minta Ahli Parlimen PH menyokong bajet agar tidak menyusahkan rakyat,” katanya.

Mohd Husin Lila pula mengingatkan bahawa budaya saling menjatuhkan kerajaan hanya akan mewujudkan kitaran politik tidak stabil, sedangkan pengundi mahukan pentadbiran yang dapat meneruskan tugas hingga tamat penggal.

“Kau mahu tumbangkan kerajaan. Apabila kau jadi kerajaan, orang pun sama mahu tumbangkan kau.

“Kami pengundi biasa sudah melalui 10 Perdana Menteri. PMX terbaik!” tegasnya.

BACA JUGA RM170 juta dan 16 kg jongkong emas jadi tumpuan, Ismail Sabri ke mahkamah esok