Politik identiti jadi trend global, PH dinasihat bina naratif baharu tembusi akar umbi

Kebangkitan politik identiti dan konservatisme bukan fenomena yang hanya berlaku di Malaysia, sebaliknya menjadi trend global yang turut mempengaruhi corak pengundian di beberapa negara.

Ketua Penyelidik ILHAM Centre, Prof Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim berkata, perkembangan sama dapat dilihat dalam landskap politik Jepun, Thailand dan pilihan raya terdahulu di Indonesia apabila sentimen identiti semakin kuat membentuk kecenderungan pengundi.

Menurutnya, Pakatan Harapan (PH) perlu menerima realiti tersebut dan tidak boleh terus mengandaikan bahawa pengundi, khususnya golongan muda Melayu, akan berubah menjadi lebih progresif secara automatik.

Sebaliknya, perubahan sokongan hanya boleh berlaku sekiranya PH tampil dengan penawaran dasar, naratif dan saluran komunikasi yang benar-benar menyentuh kehidupan rakyat.

“PH tidak boleh berada dalam penafian atau mengandaikan pengundi akan berubah menjadi progresif secara automatik tanpa ada penawaran polisi yang menyentuh terus kehidupan rakyat jelata,” tegasnya.

Dr Mohd Yusri berkata demikian dalam Wacana Pasca Pilihan Raya Negeri (PRN) hari ini.

Titik buta

Dalam konteks Malaysia, beliau berkata, pengundi muda Melayu yang merangkumi kira-kira 52 peratus daripada keseluruhan demografi pemilih masih menjadi titik buta utama PH menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Beliau berkata, kecenderungan kelompok berkenaan masih kuat dipengaruhi politik identiti, gelombang konservatisme serta watak pempengaruh dan asatizah di media sosial yang secara terbuka menyokong kepimpinan parti lawan.

Dalam masa sama, penyelidik berkenaan turut berpendapat pendekatan Rahmatan lil ‘Alamin dan politik progresif yang dibawa Parti Amanah Negara (AMANAH) masih belum berjaya muncul sebagai naratif alternatif yang berkesan untuk menyimbangi pengaruh Pas.

“Pendekatan dan pendirian AMANAH tenggelam, tidak menjadi pandangan alternatif atau kelompok progresif sebagai pengimbang kepada naratif yang dibawa oleh Pas.

“Dalam minda pengundi muda Melayu, mereka tidak nampak keberadaan AMANAH untuk bersaing,” katanya.

Selain itu, beliau juga menegur mengenai ketiadaan pertandingan idea dan gerakan strategik daripada sayap pemuda parti-parti kerajaan bagi merebut sokongan kelompok muda Melayu.

Katanya, dasar dan program berkaitan belia masih belum berjaya diterjemahkan menjadi satu gelombang politik nasional yang mampu menarik perhatian serta menangkap imaginasi anak muda.

“Anak muda Melayu bersaiz besar, iaitu 52 peratus. Sebelum ini, tidak ada contestation yang dibuat secara berkesan.

“Kalau orang awam tidak boleh sebut program apa yang dibawakan oleh Pemuda PH, itu adalah masalah besar kepada Pakatar. apan,” tegasnya.

Merawat kelemahan

Justeru, bagi memastikan PH kekal kompetitif dalam pilihan raya akan datang, Dr Yusri menyarankan PH segera merawat kelemahan sistem komunikasinya dan tidak hanya bergantung kepada pengumuman dasar dari peringkat atasan.

PH, katanya, perlu memperkasakan ejen penyampai di lapangan, membina rangkaian komunikasi yang lebih berkesan serta menghasilkan naratif segar yang mampu menembusi komuniti Melayu di peringkat akar umbi.

Tanpa pembaharuan tersebut, PH berisiko terus gagal mencabar penguasaan naratif politik identiti, khususnya dalam kalangan pengundi muda Melayu yang akan menjadi kelompok penentu dalam PRU16.

Untuk rekod, pola keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan dilihat amaran serius kepada PH menjelang PRU16.

Di Johor, BN menang besar dengan 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala PH hanya memperoleh lapan kerusi, berkurangan daripada 12 kerusi sebelum ini.

Di Negeri Sembilan pula, rekod PH merudum daripada 17 kepada 11 kerusi, sementara BN memenangi 18 kerusi dan PN tujuh kerusi DUN.

Daripada 11 kerusi PH itu, sembilan kerusi disumbangkan oleh DAP dan dua PKR manakala AMANAH gagal memenangi sebarang kerusi.

Malah, ‘gelombang biru’ yang merujuk pada kemaraan BN dan PN kali ini menyaksikan PH tidak mempunyai wakil Melayu dalam DUN Negeri Sembilan.

BACA JUGA Pas mungkin dapat perluas pengaruh ke negeri-negeri dikuasai Umno