Shahril ingatkan Umno: Momentum Melayu boleh hilang jika isu TH terus ‘sapu bawah karpet’
Bekas Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan mengingatkan bahawa momentum politik yang sedang dinikmati parti itu tidak boleh dianggap kekal, khususnya jika Umno gagal menggunakan kontroversi Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji sebagai peluang untuk mengakui kelemahan sendiri.
Dalam podcast Keluar Sekejap, Shahril berkata Umno tidak boleh hanya bergantung kepada naratif perpaduan Melayu tanpa melakukan reformasi, memohon maaf dan memperbaiki kelemahan yang dikenal pasti.
“Ini soal kelestarian momentum politik,” katanya.
Shahril juga berkata Umno tidak wajar menganggap gelombang sokongan semasa sebagai bukti parti itu tidak lagi perlu berubah.
Peringatan Shahril itu hadir ketika isu RCI Tabung Haji terus mengasak Umno, selepas beberapa pemimpin parti mempertahankan bahawa laporan tersebut tidak membuktikan wujud unsur “sakau” atau penyelewengan oleh pemimpin Umno.
Namun, bagi Shahril, isu lebih besar bukan sekadar mempertahankan parti daripada serangan politik, tetapi sama ada Umno berani menunjukkan kematangan dengan mengakui kelemahan tadbir urus yang berlaku dalam institusi penting umat Islam itu.
Nada sama turut dibawa bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, yang berkata Umno perlu mengakui kelemahan tadbir urus Tabung Haji ketika pentadbiran BN seperti didedahkan dalam laporan RCI.
Menurut Khairy, beliau memahami mengapa beberapa pemimpin Umno mengambil sikap defensif ketika kempen PRN Negeri Sembilan, termasuk menafikan wujud salah laku atau rasuah dalam pengurusan TH. Namun, katanya, pendekatan itu tidak memenuhi harapan terhadap sebuah parti yang mahu dilihat komited kepada reformasi dan pembaharuan.
Khairy berkata, menjelang Perhimpunan Agung Umno, parti itu perlu jujur dan mengakui adanya kegagalan tadbir urus.
“Jika kita ambil pendirian itu, orang akan kata sekurang-kurangnya Umno adalah sedikit bibit perubahan untuk bawa parti ke arah pemulihan sebab mereka mengaku,” katanya dalam podcast berkenaan.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Rusdi Mohd Isa berkata polis sedang merakam keterangan saksi dari dalam dan luar negara selain mendapatkan dokumen berkaitan bagi membantu siasatan.
Perkembangan itu menjadikan nasihat Shahril lebih signifikan, kerana isu TH kini bukan lagi sekadar soal siapa menang hujah “ada sakau” atau “tiada sakau”, tetapi sudah memasuki proses siasatan rasmi pihak berkuasa.
Kenyataan Shahril boleh dibaca sebagai amaran dalaman kepada Umno: gelombang sokongan yang mungkin sedang kembali kepada parti itu boleh terhakis jika Umno dilihat hanya mempertahankan diri, tetapi gagal mengakui kelemahan lampau.
Dengan siasatan polis kini berjalan, ruang untuk Umno terus berlindung di sebalik hujah “tiada perkataan sakau” semakin sempit.
Persoalan lebih besar ialah sama ada parti itu berani menggunakan isu Tabung Haji sebagai titik mula reformasi, atau sekali lagi membiarkan peluang pemulihan politik disia-siakan.
BACA JUGA Ulama Umno tegur jangan jadikan kematian bahan sindiran politik