Tak salah, pertahankan; salah, dakwa – PMX letak isu RCI TH atas meja undang-undang, Parlimen
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan isu Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji tidak harus ditentukan melalui perang persepsi politik, sebaliknya perlu melalui proses undang-undang yang jelas.
Dalam ucapan beliau sebelum ini, Anwar berkata mana-mana pihak yang merasakan tidak bersalah boleh mempertahankan diri, namun jika wujud kesalahan, tindakan undang-undang perlu diambil.
“Siapa kalau tak salah, pertahankan. Kalau salah, dakwa. Kalau dihukum masuk penjara, masuk penjara lah. Itu bukan urusan saya.
“Sistem kita menetapkan, siasat itu badan siasat. Buat pertuduhan itu Peguam Negara. Hukum, para hakim, itu bukan urusan Perdana Menteri,” katanya.
Kenyataan itu kini menjadi lebih signifikan apabila laporan RCI Tabung Haji yang mencetuskan perdebatan hangat bakal dibahaskan dalam sidang khas Dewan Rakyat pada 11 Ogos ini.
Menurut The Edge, Anwar berkata laporan itu perlu dibaca rakyat dan jika ada pihak tidak melakukan kesalahan, mereka boleh mempertahankan diri, manakala jika ada kesalahan, proses pendakwaan perlu berjalan melalui saluran undang-undang.
Pendirian Anwar itu sekali gus mengalihkan perbahasan daripada sekadar mencari istilah “sakau” dalam laporan RCI kepada persoalan lebih besar sama ada wujud pelanggaran undang-undang, kelemahan tadbir urus dan keputusan kewangan yang perlu dipertanggungjawabkan.
Sebelum ini, sebahagian pemimpin Umno mempertahankan bahawa laporan RCI tidak menyebut secara literal wujud pemimpin parti itu “sakau” dana Tabung Haji.
Namun, bagi kerajaan, fokus sebenar bukan pada istilah politik, tetapi pada dapatan laporan, proses siasatan dan reformasi institusi.
Jemaah Menteri pada 29 Julai lalu bersetuju menyahklasifikasi dan mendedahkan laporan RCI berkenaan kepada umum selepas meneliti dapatan siasatan yang meliputi pengurusan dan operasi Tabung Haji bagi tempoh 2014 hingga 2020.
Menurut kenyataan kerajaan, laporan itu turut mengandungi 25 syor penambahbaikan, dengan 75 peratus daripadanya telah dilaksanakan oleh pengurusan Tabung Haji ketika ini.
Antara dapatan paling besar dalam laporan itu ialah kedudukan kewangan Tabung Haji pada 2017.
RCI mendapati institusi berkenaan sepatutnya merekodkan kerugian bersih RM1.4 bilion bagi tahun kewangan 2017 sekiranya piawaian pelaporan kewangan dipatuhi sepenuhnya, bukannya keuntungan RM3.4 bilion seperti dilaporkan ketika itu.
Laporan itu turut menyebut faktor seperti pembayaran hibah tinggi antara 2014 hingga 2017, amalan perakaunan, ketidaktegasan audit, serta peningkatan liabiliti Bantuan Kewangan Haji sebagai antara penyumbang kepada krisis kewangan Tabung Haji.
Dalam konteks itu, kenyataan Anwar bahawa “kalau salah, dakwa” dilihat sebagai mesej bahawa kerajaan tidak mahu mendahului proses siasatan atau mahkamah, tetapi pada masa sama tidak akan melindungi mana-mana pihak sekiranya pelanggaran undang-undang terbukti.
Dengan meletakkan proses siasatan, pendakwaan dan hukuman pada institusi masing-masing, Anwar cuba membingkai isu Tabung Haji sebagai isu amanah dan undang-undang, bukan dendam politik.
Mesejnya jelas: kerajaan boleh mendedahkan laporan, Parlimen boleh membahaskan, rakyat boleh menilai, tetapi hanya badan penyiasat, Peguam Negara dan mahkamah boleh menentukan kesalahan.
Bagi penyokong kerajaan, ini memberi ruang kepada PMX untuk menepis dakwaan bahawa isu RCI Tabung Haji digunakan semata-mata sebagai peluru politik.
Namun bagi pihak yang disebut atau dikaitkan dengan pengurusan lama Tabung Haji, kenyataan Anwar juga membawa cabaran terbuka jika tidak bersalah, pertahankan; jika salah, berdepan proses undang-undang.
BACA JUGA Dulu kata tiada ‘sakau’, kini 40 MP bersiap bahas RCI TH di Parlimen