‘Dulu marah saya guna media sosial, sekarang Exco pula buat’ – Puad sindir MB Johor
Tindakan beberapa Exco Johor menggunakan media sosial untuk mengkritik Kerajaan Persekutuan berhubung isu Hospital Pasir Gudang mengundang sindiran Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang mendakwa pendekatan itu bercanggah dengan pendirian Menteri Besar Johor sebelum ini.
Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO itu berkata, keadaan kini sudah menyerupai perang terbuka apabila bukan seorang, tetapi beberapa anggota pentadbiran negeri tampil secara terbuka mempertikaikan tindakan Kerajaan Persekutuan.
“Sekarang Exco Kerajaan Johor guna media sosial untuk mengkritik Pusat kerana kononnya lambat bertindak selesaikan isu Hospital Pasir Gudang Johor.
“Dua Exco termasuk Exco Kesihatan guna Facebook mereka.
“Sebelum ini, Exco Perumahan menghentam PMX isu perumahan rakyat di Johor. Ini sudah jadi perang terbuka,” tegasnya dalam satu kenyataan.
Mendapat restu
Puad berpendapat tindakan berkenaan tentu mendapat restu Menteri Besar Johor, sambil menyindir bahawa pentadbiran negeri kini seolah-olah mengakui media sosial merupakan saluran sesuai untuk mengetengahkan isu dan mendapatkan perhatian orang ramai.
Menurut bekas Ahli Parlimen Batu Pahat itu, beliau tidak mempertikaikan usaha memperjuangkan isu kesihatan rakyat tetapi mempersoalkan jika pendekatan berbeza digunakan apabila kritikan menerusi media sosial datang daripada pihak lain.
“Baguslah akhirnya MB Johor mengakui media sosial lebih sesuai untuk mendedah dan menarik simpati orang ramai atas isu yang kerajaan Johor rasa dia betul. Tiada kompromi mengenai kesihatan rakyat.
“Tetapi janganlah double standard,” ujarnya bekas Speaker ke-11 Dewan Negeri Johor itu.
Puad berkata, beliau sendiri sebelum ini pernah ditegur selepas menggunakan Facebook dan TikTok untuk membangkitkan beberapa isu di Johor termasuk benteng Berong Laut, pembinaan tangki air baharu di Rengit serta pelantikan ketua kampung.
Menurutnya, Menteri Besar ketika itu menghubunginya melalui WhatsApp dan meminta beliau tidak “bergaduh” dengan Exco menerusi media sosial kerana dikatakan terdapat pihak yang tidak menyukainya.
Dalam masa sama, Puad berpandangan kerajaan Johor sebenarnya mempunyai saluran lebih langsung untuk membawa isu Hospital Pasir Gudang ke peringkat Persekutuan, termasuk melalui menteri-menteri Umno dalam Kabinet.
“Sebenarnya Kerajaan Johor boleh sahaja guna Menteri-Menteri Umno bawa isu Hospital Pasir Gudang dalam Kabinet.
“Kita mahu tengok Menteri Umno akan pertahankan kerajaan pusat atau kerajaan Umno Johor,” kata bekas Timbalan Menteri Pelajaran ketika pentadbiran Datuk Seri Najib Razak itu lagi. lagi.
BACA JUGA Kena pasang ‘pacemaker’, prosiding terhadap pemimpin Umno ini ditangguh ke 27 Ogos