Kena pasang ‘pacemaker’, prosiding terhadap pemimpin Umno ini ditangguh ke 27 Ogos

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menangguhkan prosiding melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kepada 27 Ogos depan.

Penangguhan pendakwaanberkenaan susulan masalah kesihatan yang dihadapi Ahli Parlimen Bera merangkap Ketua Umno Bahagian Bera itu.

Pendakwaan tersebut tidak dapat dibacakan dan tiada pengakuan direkodkan meskipun pertuduhan telah didaftarkan kerana Ismail kini sedang menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Peguam bela pemimpin Umno berkenaan, Datuk Amer Hamzah Arshad dilapor berkata, Ismail dijadual menjalani prosedur memasang alat perentak jantung (pacemaker) pada petang ini.

Sebelum ini, Ismail dijadual didakwa di mahkamah di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Setakat 7 Mei 2025, bekas Naib Presiden Umno berkenaan dilaporkan sudah menjalani sekurang-kurangnya 10 sesi soal siasat dengan SPRM.

Antara tarikh yang dikenal pasti ialah 19 Februari; 13, 14, 17, 19, 20 dan 24 Mac; 24 dan 25 April; serta 7 Mei 2025.

Selain itu, Ismail juga pernah dirakam keterangan pada Januari 2024 berhubung siasatan perbelanjaan publisiti kerajaan bernilai RM700 juta.

Pada 2 Mac 2025, SPRM mengesahkan telah merampas wang tunai RM170 juta dalam pelbagai mata wang asing termasuk Baht, Riyal, Pound Sterling, Won, Euro, Swiss Franc dan Yuan.

Sebanyak 16 kilogram jongkong emas tulen dianggarkan bernilai RM7 juta turut disita.

Rampasan tersebut berhubung siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram terhadap ayah kepada penyanyi dan pelakon, Dafi itu.

Hasil rampasan itu diperoleh semasa penggeledahan di kediaman dan pejabat yang dipercayai dijadikan ‘rumah selamat’ selepas siasatan ke atas empat pegawai kanan Ismail Sabri yang ditahan pada Februari 2025.

BACA JUGA Adat dijaja, kaum dibakar: Ini padahnya bila ‘ruwaibidah’ kuasai pentas politik